Monday, May 16, 2022

Mengapa doktor senior buli doktor pelatih?

Secara Rawak

Kisah doktor pelatih dibuli yang menjalani housemanship di hospital awam di negara ini, termasuk di Sarawak sebenarnya bukanlah kisah baharu. Ia juga bukan satu rahsia, malah menjadi rahsia umum dalam kalangan doktor pelatih, rakan dan ibu bapa mereka. Memang tahap buli yang dilakukan oleh doktor senior sudah sampai ke peringkat melampau dan keterlaluan. Ironinya, pihak atasan bagai tidak tahu akan fenomena ini.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA)  melalui kajiannya suatu ketika dahulu mendedahkan bahawa kes buli dalam kalangan doktor pelatih sudah begitu serius berlaku. Menurut kajian tersebut, 66.9 peratus doktor pernah dibuli atau diganggu tugas.

Berikut catatan daripada seorang doktor pelatih yang saya petik daripada Internet.

“Mereka tahu menjadi doktor pelatih atau HO kerjanya luar biasa berat. Mereka tahu gaji bukanlah sebesar mana berbanding dengan beban kerja. Mereka tahu setiap saat mereka berhadapan dengan pelbagai risiko yang mengancam nyawa. Mereka tahu betapa mereka terpaksa mengorbankan ‘family life’… namun mereka yang ‘gila’ ini terus juga menjalankan amanah menyelamatkan nyawa manusia… Ya, mereka gila pahala. Namun siapakah yang melindungi mereka dari keadaan serba menekan ini…mereka ini adalah penjawat awam yang sangat malang. Malah mereka diperingatkan bahawa usai housemanship masa depan kerjaya mereka tiada jaminan apa-apa. Sepanjang pengajian berapa ramai yang gugur tidak sanggup meneruskan.

Yang sudah lulus dan menjalani latihan sebagai HO di hospital tempatan berapa ramai yang meninggalkan saja kerjaya kerana merasakan mereka melalui ‘neraka kerja’. Yang sedihnya ‘neraka’ ini dicipta oleh doktor senior, bukan oleh pesakit. Mereka masih mampu bertahan dengan tugas melebihi 14 jam sehari tanpa henti. Masih mampu senyum bila sepatutnya cuti tapi perlu bertugas atas arahan.

Namun kata-kata kesat seperti “bodoh”, “bengap” oleh MO dan specialist yang sepatutnya manusia yang paling berperikemanusiaan di dunia kepada HO menjadi makan harian menambah kesengsaraan kerja yang sudah sedia berat. Diceritakan kisah2 HO yang keguguran kandungan akibat ‘neraka kerja’ ini. Diceritakan juga kisah doktor pelatih kemalangan jalan raya akibat tekanan ‘neraka kerja’. Belum lagi cerita mereka yang terpaksa melalui ‘mental depression’ hingga mahu bunuh diri.”

Doktor senior pembuli seronok membuli doktor pelatih seolah-olah tidak menyedari bahawa individu terbabit begitu tertekan.  Mereka ini bagai tak ada hati perut dan hilang rasa kemanusiaan. Bukan tidak ada doktor pelatih yang mengalami gangguan mental kerana tekanan yang tidak tertanggung lagi.

Bukan tidak ada yang sudah tidak tahan lalu terpaksa dengan berat hari meletakkan jawatan. Ya, mereka sudah tidak kisah lagi walaupun terpaksa membayar biasiswa ratusan ribu ringgit kerana melanggar kontrak.  Mereka ini kebanyakannya ialah pelajar cemerlang ketika di bangku sekolah dan universiti. Tentu ini merugikan kerajaan, negara dan rakyat, selain merugikan doktor pelatih dan keluarga terbabit.

Malah, bukan sesuatu yang asing, ada yang sampai hendak membunuh diri sebagai jalan keluar. Doktor pelatih ini mempunyai peribadi dan sifat yang pelbagai. Ada yang kuat dan ada yang lemah dari segi daya tahan. Doktor senior dikatakan mengambil kesempatan dengan membuli doktor yang lemah. Doktor pelatih tersebut diherdik, disumpah seranah dan dimalukan di hadapan rakan-rakan, jururawat, malah pesakit. Ada yang diberi label negatif termasuk bodoh dan lembab. Ada juga yang dibaling dengan fail.  Kata-kata kurang manis dihamburkan. Ini tentu bukan cara yang betul untuk melatih dan mendidik.

Mana-mana manusia tidak mahu hilang harga diri atau dirinya diperlekeh. Buli dan beban tugas yang melampau akan menyebabkan mereka mengalami gangguan emosi seghingga menjejaskan tugas mereka untuk merawat pesakit dan belajar. Harga diri dan motivasi doktor pelatih akan hilang apabila berdepan dengan situasi dan pengalaman sedemikian.

Satu perkara yang perlu diketahui oleh doktor senior adalah apabila sering diherdik, maka doktor pelatih akan takut hendak bertanya, sedangkan bertanya itu penting untuk mendapatkan ilmu dan kepakaran.

Anehnya difahamkan apabila sudah lulus dan menjadi pegawai perubatan, mereka ini juga akan menjadi pembuli. Mereka yang pernah dibuli akan menjadi pembuli sehingga amalan ini menjadi satu lingkaran syaitan.

Hakikatnya, doktor pelatih sedar akan budaya dan amalan ini sebelum mereka memilih untuk menjalani latihan selama dua tahun di hospital awam.  Memang, ada hospital di negara ini, dan di Sarawak yang dikenali dengan doktor senior yang suka membuli.

Persoalannya, adakah pihak kementerian memang tidak tahu akan masalah ini? Atau kementerian terbabit sengaja memekakkan telinga mereka dan tidak mempedulikan masalah itu?

Apabila berlaku kejadian  kematian seorang doktor pelatih di sebuah hospital awam di Pulau Pinang baru-baru ini, perkara ini sekali lagi mengundang perhatian. Tetapi selepas itu akan tidak dipedulikan lagi. Doktor pelatih berkenaan dipercayai ‘terjatuh’ selepas tiga minggu bertugas di hospital tersebut.  Pada Dis 2020, seorang doktor pelatih di hospital sama meninggal dunia, tiga minggu selepas dia berhenti.

Seolah-olah bagai hangat-hangat tahi ayam. Kita tidak harus mengkategorikan kes berkenaan sebagai kes mati mengejut. Adakah seorang doktor pelatih yang sudah berkorban sehingga enam tahun untuk  semudah itu untuk mengambil jalan mudah sebegitu kalau tidak ada sebab yang mendesak?

Memang ada doktor pelatih yang mengalami keadaan tertekan dan depression yang melampau sehingga terpaksa dirujuk kepada ahli psikiatri. Ini adalah sesuatu yang malang, sebab doktor yang sepatutnya mengubati pesakit, menjadi pesakit pula gara-gara budaya negatif di tempat kerja.

Persoalannya, kita hendak tahu berapa orangkah doktor pelatih yang sudah berhenti di Sarawak dalam tempoh lima tahun lalu disebabkan oleh amalan buli dan  tekanan yang melampau? Pihak kementerian tidak harus memberi jawapan mudah bahawa mereka ini tidak sesuai jadi doktor. Sebaliknya pihak kementerian perlu ambil serius masalah ini. Tindakan tegas perlu diambil terhadap doktor pembuli. Satu jawatankuasa perlu ditubuhkan untuk menyiasat kes buli sehingga ke akar umbi. Doktor senior pembuli perlu dikenakan tindakan tegas. Adakah mereka ini diberi latihan bagaimana untuk melatih dan membimbing? Dengan itu mereka akan tahu sikap pembimbing, jurulatih dan mentor yang baik.

Saya sendiri banyak mendengar pelbagai cerita mengenai doktor pelatih dibuli di hospital awam. Memang sesuatu yang memalukan apabila hospital kerajaan tidak menangani amalan buli di tempat kerja, sama ada membabitkan doktor pelatih ataupun mana-mana kakitangan lain. Kementerian terbabit tidak sepatutnya memandang enteng fenomena ini.  Budaya toksik itu tidak harus dibiarkan berlarutan. Sudah terlalu lima kisah buli ini diperkatakan, dan kita tidak mahu budaya buli itu berlarutan dan mengorbankan banyak lagi mangsa lain selepas ini.

Kita tidak harus membiarkan doktor pembuli  bertugas di negara ini. Kita tidak wajar membiarkan mereka bermaharajalela, memperlakukan doktor pelatih sesuka hati.   Keluarga seorang doktor yang pernah menjadi doktor pelatih seperti dilaporkan media sampai  terbabit dalam 27 kemalangan kereta akibat keletihan kerana terpaksa bekerja dalam tempoh yang panjang. Ada yang sudah berada di wad sejak seawal. 5.30 pagi untuk memastikan mereka menguasai kes, dan hanya balik jam 10.30 malam. Mereka perlu bangun awal, dan sering keletihan kerana tidak cukup tidur, dan belum lagi mengambil kira tekanan yang ditanggung.

Adakah semua doktor perlu melalui perkara sedemikian sebelum mereka dapat menjadi pegawai perubatan? Kita tidak harus menjadikan amalan negatif itu sebagai budaya dalam kerjaya perubatan. Seorang doktor pelatih biasanya perlu menjalani latihan di  sesuatu jabatan yang berlainan selama empat bulan untuk minimum dua tahun keseluruhannya.

Ya, budaya buli di hospital terhadap doktor pelatih harus segera dihentikan. Malah, siasatan perlu dilakukan terhadap mana-mana dakwaan atau tuduhan terhadap doktor senior malah ketua mana-mana hospital kerana tidak ambil peduli perkara berkenaan. Meskpun ini mungkin membabitkan  daya ketahanan dan kecekapan di pihak doktor pelatih, ini bukanlah justifikasi untuk membenarkan kejadian buli berleluasa di hospital.

Bukankah ini sesuatu yang aneh? Doktor yang menjaga dan mengubati pesakit, tetapi rakan setugas mereka seolah-olah tidak pedulikan emosi dan kebajikan doktor pelatih.  Ini memang sesuatu yang memalukan. Doktor senior tidak harus terlalu angkuh, sombong, riak dan ego hanya kerana mereka telah menjadi pegawai perubatan, dan ‘lulus’ latihan. Doktor yang baik, sebagaimana guru yang baik harus mempunyai empati yang tinggi.

Harus ada rasa belas ihsan dan  mereka perlu melatih doktor pelatih itu secara profesional. Mereka perlu menyampaikan segala pengalaman, kemahiran dan kepakaran dengan cara profesional., termasuk melayan doktor pelatih dengan rasa kemanusiaan. Doktor pelatih bukannya tempat untuk melepaskan geram. Saya tidak fikir mana-mana profesion, lebih-lebih lagi bidang kedoktoran dan perubatan dapat bertolak ansur dan menerima amalan negatif, termasuk buli di tempat kerja.

Setiap profesional ada cabarannya, tetapi dibuli di tempat kerja tentu bukan cara ‘baptism of fire”.  Ada cara lain lagi yang lebih berhemah dan beperkemanusiaan untuk melatih. Seorang jurulatih yang baik yang baik mempunyai pendekatan tertentu yang berkesan untuk menyalurkan segala kepakarannya kepada anak didik. Mengherdik, menggunakan kata-kata kesat, memberi tekanan yang melampau, pasti bukan caranya. Ini bukan pula bermakna doktor pelatih perlu dilayan seperti anak raja. Maksudnyam, mereka perlu dibimbing dan dilatih dengan cara yang munasabah.

Dr Jeniri Amir ialah Felow kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru