PERU: Dalam insiden mengejutkan, orang ramai yang datang ke majlis pengebumian, menjadi hingar selepas tetamu mendengar bunyi ketukan dari dalam keranda mayat.
Insiden itu berlaku di Peru membabitkan mendiang wanita bernama Rosa Isabel Cespedes Callaca yang dikatakan mengetuk kerandanya semasa upacara tersebut.
Dia diisytiharkan meninggal dunia selepas terlibat kemalangan besar yang turut meragut nyawa abang iparnya.
Nahas itu turut menyebabkan tiga anak saudaranya cedera parah.
Saat sanak-saudaranya mengangkat kerandanya di bahu untuk membawanya ke tanah perkuburan, Rosa terbangun dan terus mengetuk pintu keranda.
Tindakannya menyebabkan tetamu majlis itu terkejut dan ketakutan seketika.
Sanak-saudaranya kemudiannya membuka pintu keranda dan menemuinya dalam keadaan masih bernyawa dan berpeluh kepanasan.
Dalam usaha menyelamatkannya, keluarga Callaca bergegas ke Hospital Rujukan Ferrenafe dan para medik menggunakan mesin sokongan hidup untuk membantunya bernafas selepas melihat dia mempunyai tanda-tanda dapat hidup.
Malangnya, dia disahkan meninggal dunia semula beberapa jam kemudian.
Polis dikatakan menyiasat hospital yang mengisytiharkan kematiannya pada kali pertama, lapor Arynews.
