Wednesday, May 25, 2022

Rebut peluang ekonomi fasa endemik

Secara Rawak

GEDONG: Penduduk tempatan di negara ini perlu mengambil peluang fasa endemik ini untuk meningkatkan taraf ekonomi terutama mengerakkan industri pelancongan dalam negara.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sehubungan ini penduduk tempatan sama ada di Semenanjung Malaysia, Sabah atau di Sarawak digalakkan untuk melancong di dalam negara. Katanya, mungkin terdapat masih banyak tempat dan khazanah menarik di dalam negara ini yang belum di terokai oleh penduduk tempatan sendiri.

Sebagai contoh di kawasan Gedong, terdapat banyak khazanah dan sejarah menarik yang boleh dipelajari seperti sejarah kewujudan Makam Kesultanan Brunei, makanan tempatan seperti mi udang, buaya dan fenomena benak yang kerap berlaku di Batang Sadong.

Nancy menambah, aktiviti melancong dalam negara juga boleh membantu usahawan tempatan menjual produk tempatan terutama hasil kreatif mereka. “Kita perlu bersyukur apabila negara kini beralih ke fasa endemik yang akan membolehkan masyarakat di negara ini menjana semula ekonomi melalui sektor pelancongan setelah dunia dilanda pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu, menyebabkan pintu sempadan negara ditutup kepada pelancong luar.

“Kini pintu masuk ke negara ini dibuka semula untuk kedatangan pelancong dan ia diyakini menghidupkan semula industri pelancongan dalam negara. “Sehubungan itu, penduduk digalak untuk sama-sama mengerakkan industri pelancongan dengan melakukan kunjungan ke tempat-tempat menarik di dalam negara,” katanya.

Beliau berkata selepas menyampaikan bantuan zakat Bank Rakyat kepada 36 penerima di Gedong semalam. Bantuan ini adalah bertujuan untuk meraikan golongan yang kurang bernasib baik dalam suasana kemeriahan Hari Raya Aidilfitri.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan menjaga kesihatan diri walaupun negara kini beralih ke fasa endemik.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Gedong, Abdul Khalid Manap dan Pemanca Abang Roni Abang Saadeli. Turut mnerima sumbangan zakat Bank Rakyat ialah penerima di Simunjan dan Sadong Jaya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru