Monday, May 16, 2022

JPJ: Lori guna feri secara haram akan diambil tindakan

Secara Rawak

KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan terhadap kenderaan berat menggunakan feri secara haram.

Jumaat lalu, sebuah lori merosakkan palang penanda aras ketinggian yang ditetapkan di pangkalan feri Batang Igan, Mukah.

Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili berkata, pihaknya memandang serius insiden tersebut dan akan memastikan perkara yang sama tidak akan berulang.

Katanya, pihaknya akan membuat pemeriksaan dari masa ke semasa dan mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu menggunakan feri secara haram.

“Kita membuat pemeriksaan dari Kuching hingga ke Mukah untuk memastikan perkara ini dapat dibendung.

“Kita akan ke lokasi dan pantau dari masa ke semasa,” katanya pada sidang media sempena Op Hari Raya JPJ di Terminal Bas Kuching Sentral, di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman Datuk Dr Juanda Jaya mahu tindakan diambil terhadap kenderaan muatan berat yang menggunakan perkhidmatan feri secara haram.

Kata Adun Jemoreng itu dalam satu hantaran Facebook, beliau memohon Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JPJ mengambil tindakan tegas ke atas pemandu-pemandu lori terbabit kerana merosakkan harta benda awam dan menyusahkam orang ramai.

“Lori seperti ini patut diharamkan dan tidak dibenarkan menggunakan mana-mana feri dan jalanraya di seluruh Sarawak kerana menyusahkan rakyat,” katanya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru