Sunday, May 29, 2022

Impian dua ahli parlimen Bersatu di Sarawak  berkecai

Secara Rawak

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan memberikan ruang kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Menurut Setiausaha Agung GPS Datuk Sri Alexander Nanta Linggi, kenyataan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini  jelas membuktikan GPS tidak akan memberi peluang kepada mana-mana parti yang ingin bekerjasama dengan gabungan itu.

“Ini jelas menunjukkan pendirian kami,” tegasnya.

“Kami akur dengan kata-kata Abang Johari selaku pengerusi majlis kepemimpinan tertinggi GPS,” jelasnya.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS menyatakan pada Khamis bahawa GPS akan meletakkan calon di kesemua 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada PRU-15 ini.

Kenyataan Abang Johari bermakna impian dua orang ahli parlimen  Bersatu  untuk masing-masingnya bertanding di kerusi Parlimen Puncak Borneo dan  Saratok sukar direalisasikan.

Sebelum ini kedua-dua wakil rakyat terbabit menaruh harapan supaya  GPS memberi  peluang kepada Bersatu bertanding di kerusi itu.

Tahun lepas, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendedahkan bahawa akan bekerjasama dengan Gabungan GPS pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Persoalannya, adakah kedua-dua calon berkenaan akan mengambil keputusan untuk menentang calon GPS nanti?

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru