Wednesday, May 25, 2022

Fokus untuk pemilik sudah bayar bulanan

Secara Rawak

KUCHING: Pembangunan semula perumahan Borneo Samariang Garden (BSG) apabila diambil alih Kerajaan Sarawak kelak akan bertumpu kepada mereka yang memiliki Perjanjian Jual dan Beli (S&P) serta membuat pembayaran setiap bulan.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi II Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia adalah usaha Kerajaan Sarawak dalam memastikan masalah yang dihadapi pembeli dapat diselesaikan.

“Bagi mereka yang sudah membayar pembiayaan rumah setiap bulan tetapi rumah masih belum siap, tumpuan akan diberikan kepada mereka. “Keadaan ini merupakan satu berita yang mengecewakan kerana masalah yang ditanggung oleh pembeli rumah susulan potongan gaji setiap bulan, namun tidak menunjukkan sebarang hasil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas menyempurnakan majlis Hari Raya Aidilfitri di The Waterfront Hotel, di sini, pada Jumaat. Tambahnya, ini merupakan kali pertama kes tersebut melibatkan pemaju dari luar iaitu di Kuala Lumpur menyebabkan sukar untuk berhubung bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Sarawak sedang berusaha untuk memastikan projek tersebut disiapkan di samping membantu mereka yang telah membeli rumah di situ.

“Sebelum ini, kebanyakan pemaju tempatan, jadi mudah untuk kita berhubung bagi menyelesaikan sesuatu masalah. “Tapi disebabkan pemaju ini adalah syarikat besar dari luar, menjadi satu masalah kepada kami untuk uruskan,” katanya.

Mengulas lanjut, pihak kerajaan sebelum ini juga pernah beberapa kali berjumpa dengan pemaju, namun syarikat tersebut tetap tidak dapat menyiapkan projek seperti yang diharapkan.

Adun Pantai Damai itu turut memberitahu bahawa dijangka ada tiga kategori pembeli yang terlibat dalam pembelian perumahan tersebut.

Pertama katanya, pembeli yang membuat pinjaman dengan agensi kerajaan negeri iaitu melalui Borneo Housing.

Seterusnya, kakitangan persekutuan yang membuat pembiayaan melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dan jenis pembeli terakhir iaitu pembeli yang meminjam dari bank swasta.

“Kita akan usahakan untuk membantu pembeli dengan berbincang bersama-sama pihak kementerian untuk mengatur pinjaman dan sebagainya. Itu yang kita usahakan,” katanya.

Terdahulu, Premier Sarawak mengumumkan untuk mengambil alih projek tersebut melalui kementerian perumahan dengan mengutamakan rumah mampu milik dan kos rendah untuk dibangunkan semula.

Projek sakit ini dipercayai berlaku disebabkan masalah dalaman pihak pemaju sehingga mendatangkan masalah kalangan pembeli. Situasi yang berlanjutan selama tiga tahun turut menimbulkan kemarahan dalam kalangan pembeli kerana rumah itu sepatutnya siap pada penghujung tahun 2019, namun tertangguh sehingga kini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru