Wednesday, May 25, 2022

Dipaksa menjadi penipu

Secara Rawak

KUCHING: Segalanya serba indah apabila mendengar pekerjaan yang menawarkan gaji yang lumayan di luar negara tetapi realitinya bertukar mimpi ngeri apabila menyedari apa yang dijanjikan itu cuma janji kosong, penipuan, perjudian dan lebih teruk pemerdagangan manusia.

Baru-baru ini, enam rakyat Malaysia berasal dari Sarawak menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Kemboja.

Seperti mangsa sebelum ini, mereka juga terpikat dengan tawaran gaji yang lumayan sehinggalah mereka menjejakkan kaki ke Kemboja dipaksa untuk menjadi penipu. Kejadian yang sama juga pernah berlaku pada tahun 2019 apabila seramai 47 warga Malaysia yang 40 daripadanya rakyat Sarawak, tiga dari Sabah dan empat dari Semenanjung Malaysia terjerat dengan sindiket tersebut.

Mereka ditahan oleh pihak berkuasa Kemboja pada 11 Disember 2018 dan diletakkan di penjara Provinsi Banteay Meanchey. Kesemua mangsa disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian dalam talian secara haram di negara tersebut.

Hasil usaha dan rundingan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak bersama Kerajaan Kemboja, kesemua mangsa dibebaskan pada lewat petang, 15 Februari. Kesemua anak Sarawak yang terperangkap di negara itu di bawa pulang diketuai oleh Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama-sama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Mereka selamat tiba ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 18 Mac 2019, jam 1.30 petang menggunakan penerbangan sewa khas JC International Airlines dari Siam Reap, Kemboja.

Manakala baki empat lagi warga Malaysia tiba di tanah air, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 17 Mac, kira-kira jam 10.30 pagi. Pada tahun ini juga, 16 warga Malaysia berjaya diselamatkan pada 5 April lalu selepas menjadi mangsa kepada penipuan pekerjaan di Kemboja.

Kumpulan 16 individu itu diselamatkan Polis Kemboja dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Polis Antarbangsa (Interpol), Polis Negara Asean (Aseanpol) serta Kementerian Luar.

Seramai 12 daripada 16 individu tersebut dibawa pulang ke tanah air pada 12 April lalu manakala empat lagi masih berada di negara itu bagi menjalani kuarantin kerana positif Covid-19. Mereka tiba di tanah air pada 20 April jam 4.35 petang dari Phnom Penh selepas selesai menjalani kuarantin tujuh hari.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru