KUCHING: Prihatin dengan masalah pembeli projek perumahan yang sekian lama terbengkalai, Kerajaan Sarawak kini akan mengambil alih projek perumahan Sentoria di Petra Jaya di sini.
Proses itu, menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan dilakukan setelah isu-isu berkaitan perundangan diselesaikan.
Katanya, pihaknya telah memberi amaran kepada syarikat terbabit untuk menyelesaikan isu-isu dari sudut perundangan dengan segera.
Para pembeli yang kecewa telah tertunggu-tunggu walaupun telah membayar ansuran bulanan, dan ini sesuatu yang membebankan.
“Projek perumahan Sentoria dilaksanakan syarikat yang tersenarai. Kalau sudah selesai urusan perundangan, kerajaan akan ambil alih projek itu,” kata Abang Johari yang jelas prihatin akan nasib pembeli.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu berkaitan projek perumahan Sentoria selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DUN N26 Gedong di salah sebuah hotel di Kuching, di sini pada Khamis.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi sebelum itu menjelaskan Kerajaan Sarawak kini sedang mencari mekanisme terbaik bagi menyelesaikan masalah projek perumahan terbengkalai yang memangsakan pembeli di perumahan Sentoria Borneo Land.
Difahamkan, projek perumahan melibatkan tujuh fasa yang mana syarikat berkenaan hanya berjaya disiapkan dan didiami pembeli di fasa 1 hingga 4, sementara fasa 5 hingga ke 7 termasuk Rumah Spektra Medium (RSM) masih terbiar sehingga kini.