Wednesday, May 25, 2022

Kelonggaran peraturan percepat pemulihan ekonomi

Secara Rawak

KUCHING: Pengumuman membenarkan semua aktiviti beroperasi sepenuhnya mulai 1 Mei disifatkan sebagai satu langkah tepat dalam mengurangkan beban rakyat.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (SHEDA) Cawangan Kuching, Datuk Sim Kiang Chiok (gambar) berkata, langkah itu membuka peluang besar kepada masyarakat dan juga pemain industri untuk memulihkan semula ekonomi yang terjejas selama ini.

“Sektor ekonomi kita perlu dihidupkan semula dengan pelan ekonomi pasca-Covid-19 yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak dan Persekutuan.

“Namun demikian, pihak industri dan sektor perniagaan perlu diberi masa untuk menjana semula pendapatan mereka dalam usaha memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi berhubung pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia yang membenarkan semua aktiviti beroperasi pada kapasiti 100 peratus.

Menurutnya, meskipun diberikan kelonggaran untuk beberapa garis panduan yang berkaitan, namun tetap ditegaskan agar semua rakyat memainkan peranan masing-masing dalam mencegah jangkitan wabak Covid-19.

“Kita harus mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi mereka yang masih belum diberi vaksin atau tidak dapat diberi vaksin kerana keadaan perubatan. “Meskipun mencapai kadar vaksinasi yang tinggi, kemasukan ke hospital menurun dan mempunyai ubat antivirus namun kita boleh menubuhkan hospital sementara di bandar utama jika terdapat peningkatan jangkitan wabak dalam kalangan masyarakat,” katanya lagi.

Beliau mewakili pemain industri turut berharap dengan kelonggaran SOP Covid-19 ini, ia mengurangkan lagi kos operasi malah dapat meningkatkan produktiviti dan perniagaan yang dijalankan.

Ini kerana turut terdapat cabaran lain disebabkan peningkatan kos akibat perang Ukraine-Rusia, yang menyebabkan kos makanan meningkat, nilai mata wang Malaysia menurun yang memberi kesan ke atas kos dalam menjalankan perniagaan.

“Kita berharap agar kerajaan dapat membantu menangani masalah ini dengan mengurangkan kos pematuhan, pengurangan cukai Import dan eksais, yang membantu mengawal inflasi yang diimport dan membantu permodalan semula sektor ekonomi dengan memberikan lebih banyak pinjaman perniagaan,” jelasnya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru