Monday, May 16, 2022

Piala FA: Kuching City FC ambil iktibar

Secara Rawak

SKUAD Kuching City FC dijangka melangkah ke suku akhir Piala FA apabila diundi menentang pasukan Liga M3, Perlis United FC pada pusingan kedua 17 Mei nanti.

Namun pengendali Kuching, Irfan Bakti Abu Salim tidak mahu anak-anak buahnya mengambil mudah perlawanan tersebut.

“Kami sentiasa menghormati pasukan lawan, tanpa mengira status mereka. “Ini kerana Perlis United boleh melakukan kejutan jika kita tampil sambil lewa,” ujar Irfan.

Beliau merujuk kepada skuad Liga Premier, PDRM yang tewas 2-0 kepada Perlis United pada pusingan pertama.

“Ia harus menjadi iktibar bagi kami, bahawa pasukan Liga M3 mampu mengalahkan pasukan Liga Premier… jadi kami kena berhati-hati,” jelasnya lagi.

Sementara itu, para pemain hanya diberi cuti beberapa hari sahaja untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Ini kerana mereka akan menentang UiTM FC di Shah Aman pada 7 Mei nanti untuk aksi Liga Premier.

KCFC kini berada di tangga keenam Liga Premier setelah melakar dua kemenangan, sekali seri dan sekali tewas. Khamis lalu mereka terlepas dua mata apabila hanya mampu seri 2-2 dengan PDRM. PDRM menjaringkan gol penyamaan dalam masa kecederaan, menerusi sepakan penalti.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru