Wednesday, May 25, 2022

Pelaksanaan 5G: Rundingan masih berjalan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Rundingan perjanjian perkhidmatan antara syarikat telekomunikasi dengan Digital Nasional Bhd (DNB) bagi pelaksanaan rangkaian 5G negara masih berjalan dengan tarikh tutup tawaran adalah pada 30 Jun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa.

Annuar berkata, sehingga kini semua syarikat masih dalam proses merundingkan harga atau nilai ekuiti yang ditawarkan.

“Mereka (syarikat) diberi tempoh hingga akhir Jun 2022 untuk memuktamadkan penyertaan,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Bernama.

Justeru Annuar berkata, laporan portal dalam talian bertajuk “Annuar Musa: Only TM and YTL have agreed to own an equity stake in Digital Nasional Berhad (DNB)” bertarikh 2 Mei lalu yang memetik kata-kata beliau adalah tidak tepat.

Terdahulu, Bernama melaporkan hanya dua syarikat telekomunikasi (telco) iaitu Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd (YTL) yang memeterai perjanjian perkhidmatan dengan DNB bagi pelaksanaan rangkaian 5G negara, setakat ini.

Annuar yang dipetik berkata, beliau berharap telco lain dapat menyegerakan dalam memuktamadkan perjanjian tersebut dengan DNB bagi mempercepat pelaksanaan rangkaian 5G milik kerajaan di seluruh negara.

“Oleh kerana DNB hanya menyediakan prasarana, perkhidmatan mesti dibuat oleh telco, namun beberapa telco masih berunding dan belum menandatangani perkhidmatan yang hendak diberikan kecuali TM dan YTL.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru