Sunday, July 3, 2022

Pekerja buruh binaan maut dilanggar

Secara Rawak

KUCHING: Seorang pekerja buruh binaan maut setelah dilanggar sebuah kereta di Jalan Bintawa, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Bingkok John berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 pagi.

Katanya, lelaki berumur 29 tahun dilanggar sebuah Perodua Axia yang datang dari arah perumahan Prima menuju ke Pusat Bandar.

“Kereta berkenaan telah hilang kawalan apabila melalui selekoh dan terbabas melanggar motosikal mangsa dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan ini, mangsa disahkan meninggal dunia oleh paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS) manakala pemandu hanya mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, HUS untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah dari pemandu kereta yang terbabas masuk ke laluan mangsa.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru