Wednesday, May 25, 2022

Bentang RUU Anti-Lompat Parti: Tarikh baharu akan diumum

Secara Rawak

KUCHING: Rang Undang-undang (RUU) Anti-Lompat Parti akan dibentangkan pada persidangan khas Dewan Rakyat, dengan tarikhnya yang akan diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata terdapat beberapa cadangan tarikh bagi pembentangan tersebut sebelum ini namun ia perlu diputuskan oleh Perdana Menteri terlebih dahulu.

“Jadi saya cukup yakin kita boleh menyelesaikan apa masalah dahulunya. Hanya yang tinggal ialah apabila siap kajian itu nanti, terpulang kepada Perdana Menteri. Yang mungkin perlu kepada keputusan kabinet, bila rang undang-undang itu boleh dibentangkan di Dewan Rakyat, kerana ada juga mencadangkan tunggu bulan Julai.

“Tetapi ada mengatakan supaya mengikut janji yang telah dibuat. Perdana Menteri perlu membuat keputusan mengenai satu tarikh tertentu untuk mengadakan satu sidang khas di bawah Peraturan 11(3), Peraturan Dewan Rakyat, diadakan majlis khas, dan kita boleh adakan persidangan. Itu biarlah, serahkan kepada Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui media pada Program Libat Urus Menteri Bersama Masyarakat di sini pada Rabu seperti dilapor TVS.

Beliau menambah, undang-undang tersebut perlu disiapkan segera untuk mengelak perkara yang berlaku pada tahun 2018 daripada berulang kembali, apabila ramai Ahli Parlimen melompat parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 diadakan.

Sementara itu, menyentuh tentang perjumpaan yang akan diadakan dengan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, pada 9 Mei ini, Wan Junaidi berkata pertemuan itu akan meneliti secara khusus klausa dalam undang-undang yang tidak boleh dicabar.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru