Wednesday, May 25, 2022

400 golongan sasar terima sumbangan Hari Raya Aidilfitri

Secara Rawak

KUCHING: Seramai 400 golongan sasar dari kawasan Dun Tupong menerima sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri, yang diadakan serentak di empat masjid terpilih.

Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bantuan tersebut disalurkan untuk berkongsi kegembiraan ketika meraikan Aidilfitri.

“Kita sedar bahawa dalam realiti kehidupan masyarakat, tidak semua yang hidup dalam kesenangan. Ada antara mereka yang memerlukan bantuan. “Justeru, kita wujudkan satu jawatankuasa kebajikan untuk menyalurkan segala bentuk bantuan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Menteri Kanan Kerja Raya itu berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sumbangan Aidilfitri Dun Tupong 2022 di Surau Al Fitrah, Taman Fitrah, di sini, pada Jumaat lepas.

Fadillah turut menggesa mereka yang memerlukan bantuan supaya datang ke pusat khidmat untuk berjumpa dan berbincang tentang keperluan yang diperlukan.

Pada masa sama katanya, mereka juga boleh berbincang berkaitan usaha untuk meningkatkan pendapatan isi rumah demi masa depan keluarga masing-masing.

Sementara itu, Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman berkata, ketua ranting atau kaum perlu bekerjasama dengan pihaknya untuk mengenal pasti segala keperluan yang diperlukan oleh masyarakat setempat.

“Melalui langkah tersebut, bantuan dapat diketahui lalu dibawa ke peringkat tertinggi demi memperjuangkan hak rakyat,” katanya ringkas. Mengulas lanjut, sumbangan sedemikian merupakan usaha berterusan pihak kerajaan setiap tahun dalam membantu masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Oleh itu, beliau berharap agar ia dapat dikekalkan demi kepentingan kebajikan masyarakat yang memerlukan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru