Sunday, June 26, 2022

Selesai segera isu guru

Secara Rawak

KUCHING: Beberapa isu berkaitan sektor perguruan di negara ini perlu diselesaikan dengan segera, jelas Presiden Kesatuan Guru Sarawak Adam Parkash Abdullah.

“Antaranya termasuk isu guru yang memilih untuk bersara awal diikuti jumlah kekurangan guru khususnya di Sarawak,” katanya .

Menurutnya, STU yang menyedari perkara ini menggesa Kementerian Pendidikan untuk menyelesaikannya dengan cepat.  “STU amat prihatin terhadap isu ini kerana ia menjejaskan prestasi guru di seluruh negara.

“Ini kerana kebanyakan guru berkongsi sentimen dan alasan yang sama untuk menarik diri dengan menyifatkan mereka tidak perlukan kerja perkeranian dan jangkaan ibu bapa diikuti hasil tidak menguntungkan dan kekurangan kemudahan untuk memenuhi permintaan kerja,” katanya.

Adam memaklumkan, sepatutnya guru mempunyai peranan teras di sekolah agar menjadi contoh dan pengajaran kepada murid, namun terpaksa meluangkan masa untuk mengumpul, memproses dan menyiarkan data pada masa yang sama.

“Kami perlukan masa sendiri untuk bernafas di samping menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran untuk hari berikutnya.

“Ada juga sedikit situasi di pejabat pendidikan yang kadangkala merumitkan pelaksanaan dasar dalam sekolah,” jelasnya. Untuk itu, STU katanya lagi, menggesa Kementerian Pendidikan untuk menangani isu-isu ini dengan segera dan tidak berpura-pura mengatakan proses ini adalah adil dan merupakan prosedur yang terbaik.

Selain itu, Adam berkata, kementerian juga harus menyelesaikan isu-isu terdesak berkenaan jumlah kekurangan guru di negara ini, khususnya di Sarawak.  “Terdapat beberapa sekolah di Sarawak yang terpaksa mengajar 32 hingga 36 sesi seminggu.

“Walaupun latihan pengambilan pekerja telah dikeluarkan, namun proses penempatan guru juga sangat lambat dan isunya tidak diselesaikan sehingga kini.   “Malah penggantian guru tidak sama dengan jumlah yang dihantar untuk pemindahan.

“Kami mahu tindakan segera, bukan alasan lagi dan mahu menjadi guru yang cemerlang untuk para pelajar. “Berikan kami kembali kehidupan seorang guru supaya kami boleh membantu pelajar untuk berkembang.

“Jangan biarkan kami melakukan tuga-tugas yang sepatutnya digalas polis dan doktor di sekolah. “Kami juga tidak mahu menjadi mangsa ejekan sesiapa sahaja ketika melakukan perkara di luar latihan kami,” katanya.

Menurut Adam lagi, STU amat menyokong tindakan guru yang menuntut mengenai bidang tugas yang diajukan kepada Kementerian Pendidikan agar dilayan sewajarnya.  Menurut beliau, kesatuan bersedia untuk membincangkan isu-isu tersebut seterusnya membantu meringankan beban para guru supaya mereka boleh bekerja dengan gembira dan mendapat penghormatan yang tinggi dalam perkhidmatan mereka.

Terdahulu telah dilaporkan bahawa meningkatnya kerja pentadbiran yang melibatkan kerja guru, sekali gus tuntutan daripada ibu bapa pelajar merupakan antara sebab ramai guru memilih untuk bersara awal.

Menurut salah seorang guru besar yang dipetik dari laporan akhbar nasional, antara faktor mendorongnya untuk bersara awal adalah ekoran sikap segelintir ibu bapa pelajar. Katanya, ramai pelajar yang pantang ditegur malah ada yang mengamalkan sikap ala Barat yang menggalakkan budaya bebas bersuara semakin meningkat dalam kalangan pelajar.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam satu kenyataan pada 18 April lalu menganggarkan lebih 10,000 guru telah menghantar kertas kerja mereka setiap tahun untuk bersara sejak beberapa tahun lalu.  Angka ini melebihi perangkaan Kementerian Pendidikan yang dikeluarkan pada 9 November 2021, bahawa  sejumlah 4,360 permohonan persaraan pilihan telah dikemukakan sejak Januari tahun lalu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru