Sunday, May 29, 2022

Hari Pekerja: Hargai titik peluh pekerja

Secara Rawak

HARI Pekerja diraikan setiap tahun pada 1 Mei sebagai sambutan pencapaian ekonomi dan sosial pekerja, termasuk pengenalan kepada tempoh kerja lapan jam sehari di kebanyakan negara pada tahun 1800.

Oleh itu, ia diwartakan sebagai cuti tahunan di beberapa negara termasuk Malaysia. Bagaimanapun, sambutan tersebut bukanlah semata-mata sekadar memenuhi cuti yang diberikan, tetapi bagi memperingati segala perjuangan yang dilakukan demi memenangkan hak sebagai pekerja di seluruh dunia.

Di samping, ia dapat menyuntik semangat baharu kepada pekerja untuk peka dalam mempertahankan hak asasi sebagai kakitangan sesebuah organisasi serta mengelakkan diri daripada segala bentuk penindasan.

Timbalan Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak Law Kiat Min memberitahu, tujuan hari pekerja diwujudkan bagi menghargai segala titik peluh yang disumbangkan oleh pekerja di seluruh dunia.

Katanya, ia merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada semua kakitangan yang ada kerana membantu dalam memastikan pembangunan negara dalam pelbagai aspek sentiasa bergerak ke hadapan.

“Wujudnya hari istimewa bagi pekerja sememangnya penting untuk diraikan setelah menyumbangkan jasa bakti terhadap organisasi dan negara, khususnya.

“Malah, jasa tersebut harus diperingati setiap hari susulan perkhidmatan komited yang diberikan oleh setiap seorang daripada mereka,” katanya ketika ditemui di pejabat MTUC.

Oleh itu, pekerja perlu mengetahui hak masing-masing sebagai kakitangan agar tiada yang ditindas. Cuti pada hari pekerja wajib bagi setiap kakitangan di Malaysia, justeru tindakan perlu diambil sekiranya tidak diberikan pampasan apabila diarahkan untuk bekerja pada hari tersebut, katanya memberi contoh. “Sekiranya majikan tidak memberi sebarang pampasan kepada pekerja, kakitangan tersebut berhak membuat laporan ke jabatan buruh untuk tindakan seterusnya,” jelasnya.

Bagaimanapun, pampasan tersebut hanya tertakluk kepada mereka yang mempunyai pendapatan di bawah RM2,500 sahaja. “Bagi mereka yang bergaji RM2,500 ke atas mungkin tidak dapat membuat sebarang laporan atas sebab tertentu, namun boleh pergi ke Mahkamah Sivil untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Justeru, beliau menegaskan agar semua kakitangan ambil tahu berkaitan hak masing-masing sebagai pekerja. “Ketahui hak anda sebagai pekerja dan biasakan diri dengan undang-undang agar tidak berlaku sebarang penindasan,” ujarnya.

Beliau turut mengusulkan cadangan agar Kerajaan Sarawak menubuhkan satu portfolio pekerja dalam kabinet. Jelas Kiat Min, wujudnya portfolio baharu tersebut penting kerana dapat membuat pemantauan terhadap isu yang timbul dalam kalangan pekerja. “Di samping, kebajikan serta hak pekerja dapat dilindungi dan ditegakkan melalui penubuhan tersebut,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru