Friday, July 1, 2022

Undang-undang tanah negeri dipinda pada persidangan DUN

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meminda undang-undang tanah negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pindaan tersebut akan memantapkan hak Sarawak dalam pelbagai sudut.

“Ketika ini saya belum lagi dapat mengumumkan. Pada dasarnya pihak kabinet telah bersetuju untuk di bawa ke DUN.

“Biarlah kita tengok apabila DUN bersidang nanti,” katanya ketika ditemui media semasa majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Premier Sarawak, di sini hari ini.

Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Sarawak ke-19 dijadualkan bersidang pada 17 Mei sehingga 26 Mei ini.

Persidangan akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud pada 17 Mei.

Sementara, Abang Johari yakin kegiatan ekonomi di negeri ini akan berkembang dan memulih dengan pantas.

Malah katanya, rakyat Sarawak juga menyatakan kegembiraan mereka terhadap pelaksanaan Kerajaan Sarawak dalam tempoh pemulihan ketika ini.

“Saya yakin ekonomi akan berkembang dan kegiatan ekonomi berjalan lancar.

“Kita ada beberapa projek tergendala disebabkan oleh Covid-19 dan yakin pemulihan akan berlaku dengan cepat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pengunjung yang berbilang kaum, agama dan budaya yang berkunjung ke rumah terbukanya.

Tambahnya, beliau kagum dengan sambutan tersebut kerana ia membayangkan kepada pemulaan untuk kehidupan normal.

Pun begitu, beliau mengingatkan orang ramai agar menjaga keselamatan dan kesihatan kendiri agar dapat meneruskan kehidupan.

CERIA…Abang Johari merakam gambar kenangan bersama Adun Satok Datuk Ibrahim Baki dan keluarga sempena majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Premier Sarawak di sini hari ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru