Saturday, June 25, 2022

Saksi pertelingkahan di hadapan Wisma Saberkas diminta tampil membantu siasatan

Secara Rawak

KUCHING: Orang ramai yang menyaksikan pertelingkahan antara dua individu di Jalan Tun Abang Haji Openg, di hadapan Wisma Saberkas diminta tampil untuk membantu siasatan.

Kejadian berkenaan berlaku pada 28 April kira-kira jam 3.42 petang.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung satu hantaran di media sosial yang memaparkan kejadian tersebut.

Katanya, dalam kejadian itu, seorang suspek lelaki warga tempatan bertindak agresif dengan keluar daripada kenderaannya dan mengetuk cermin kereta mangsa dengan kasar dan mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan.

“Dalam video yang sama juga menunjukkan suspek tersebut menghimpit dan cuba menghalang kenderaan mangsa dalam keadaan yang berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan video tersebut, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan ugutan jenayah.

Selain itu katanya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 279 kanun yang sama kerana kesalahan memandu secara gopoh di jalan raya awam.

Tegasnya, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan dan akan diheret ke mahkamah untuk pendakwaan berlandaskan undang-undang.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru