Wednesday, May 25, 2022

Berapakah wang simpanan dalam KWSP anda?

Secara Rawak

TIDAK ada manusia waras yang tidak mahu duit dan banyak duit lebih-lebih lagi untuk jaminan pada hari tua. Satu daripada kerisauan kebanyakan orang ialah simpanan untuk masa depan. Kita mahu memastikan masa depan yang terjamin dengan jumlah wang simpanan yang mencukupi. Satu daripada tempat simpanan yang dapat menjamin pulangan yang munasabah ketika ini ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau lebih dikenali sebagai EPF.

KWSP ialah simpanan selepas persaraan. Maksudnya, wang simpanan untuk hari tua. Dana ini penting untuk mengelakkan lebih banyak pencarum jatuh miskin selepas tidak lagi mampu bekerja atau selepas bersara. Ini merupakan satu mekanisme jaringan perlindungan sosial yang terbaik.

Andaikan anda mempunyai RM500,000 dalam KWSP ketika ini. Katakan purata dividen 6 peratus setahun, maka anda meraih RM30,000 setahun. Dalam lima tahun daripada dividen sahaja anda dapat lebih daripada RM150,000. Dengan sendirinya, dalam tempoh lima tahun anda sudah menghampiri RM700,000.

Bagi mereka yang banyak wang atau kakitangan kerajaan yang sudah pencen, sudah tentu tidak begitu membimbangkan, kerana mereka pasti menerima wang pencen setiap bulan.

Tetapi bagaimana dengan kebanyakan golongan B40 dan M40?
Memikirkan masa depan dan kelangsungannya, tentu sesuatu yang merisaukan, malah menggerunkan. Dalam konteks ini kita tak boleh berpegang kepada prinsip, ‘que sera, sera’ atau apa-apa yang hendak jadi, jadilah.

Kita jangan lupa bahawa data Bank Dunia membuktikan bahawa Malaysia telah menjadi masyarakat yang semakin menua pada tahun 2020. Kira-kira 7.0 peratus daripada populasi negara berusia 65 tahun ke atas. Malaysia dijangka menjadi ‘masyarakat menua’ menjelang 2044 dengan lebih 14 peratus penduduknya berumur 65 tahun ke atas.

Itulah sebabnya, pentingnya sandaran masa depan yang kukuh selepas seseorang bersara agar individu atau keluarga terbabit tidak berdepan kesukaran untuk melangsungkan kehidupan. Keperluan pada hari tua walaupun mungkin tidak sebesar ketika bekerja, namun kadang-kadang keperluan kecemasan termasuk untuk membayar kos perubatan adalah lebih besar.

Keadaannya tentu lebih sukar dan mencabar kerana kos sara hidup di negara ini lebih cepat daripada pertumbuhan pendapatan. Maksudnya, pendapatan yang diperoleh tidak bersekadar dengan peningkatan kenaikan harga barang, rumah, perkhidmatan dan sebagainya, sehingga menyebabkan mereka yang berpendapatan kecil terutama B40 semakin tertekan.

Hakikatnya, bukan semua orang memiliki kemampuan kewangan untuk bertahan dengan kejutan ekonomi, termasuk selepas hilang pekerjaan atau mengalami kecemasan. Bukan saja ekonomi negara, tetapi ekonomi terjejas teruk oleh ancaman Covid-19 yang telah melanda dunia lebih dua tahun.

Jumlah simpanan pencarum menyusut selepas beberapa pengeluaran dibenarkan susulan krisis Covid-19 melanda apabila banyak yang hilang pekerjaan dan mengalami pengurangan pendapatan.

KWSP menyasarkan simpanan minimum ahli sebanyak RM240,000 apabila mencapai umur 55 tahun berdasarkan peningkatan jangka hayat penduduk dan kadar pencen minimum pekerja sektor awam.

Forum Ekonomi Dunia mencadangkan 10 peratus hingga 15 peratus daripada jumlah pendapatan tahunan untuk simpanan persaraan. Namun, laporan tahunan 2019 memperlihatkan sejumlah 75 peratus ahli aktif mempunyai simpanan kurang daripada RM100,000, manakala 58 peratus ahli memiliki jumlah simpanan kurang daripada RM50,000.

Angka berikut tentu bukan sesuatu yang menggembirakan berkaitan simpanan dalam KWSP. Pada 15 Januari lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan hampir separuh daripada ahli KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dan 55 peratus daripadanya terdiri daripada bumiputera.

Hampir 2.6 juta pencarum mempunyai simpanan kurang daripada RM1000 dalam akaun satu. Katanya, lebih ramai ahli KWSP akan bersara di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran tambahan. Pengeluaran berkenaan diakui pakar berpotensi memburukkan krsis persaraan yang diibaratkan seperti bom jangka.

Kerajaan tiada pilihan selepas banyak desakan dan tuntutan rakyat dan pencarum agar mereka dibenarkan mengeluarkan caruman mereka.

Rata-rata pencarum telah mengambil kesempatan itu dengan mengeluarkan sebanyak RM21,000 sehingga RM71,000 melalui inisiatif khas seperti i-Lestari dan i-Sinar.
Simpanan median bagi ahli berusia 54 tahun merosot kepada RM37,000 setakat Disember 2021 berbanding RM41,000 sebelum Covid-19.

Jumlah ini tentu jauh daripada simpanan asas yang disyorkan oleh KWSP sebanyak RM240,000 jika seseorang itu mahu menghabiskan purata RM1,000 sebulan untuk selama 20 tahun selepas bersara.

Hasil daripada pengeluaran itu dilaporkan sebanyak 4.4 juta atau 54 peratus ahli bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dan 2 juta atau 25 peratus mempunyai kurang daripada RM1,000. KWSP juga menyatakan pengeluaran berkenaan telah menyebabkan RM101 bilion caruman dikeluarkan melibatkan 6.1 juta pencarum.

Benar, keadaan luar biasa telah menyebabkan kerajaan mengambil tindakan luar biasa. Tetapi tindakan itu juga memberi kesan dan implikasi mendalam. Itulah sebabnya sementara langkah itu disambut baik, tidak kurang juga yang mengkritiknya.

Tidak hairanlah ada yang menyifatkan keputusan untuk membenarkan pengeluaran KWSP tidak didasarkan pada logik ekonomi yang kukuh tetapi lebih sebagai tindak balas bagi memenuhi agenda politik. Benarkan tindakan ini bersifat populis dan tidak bertanggungjawab seperti didakwa sesetengah pihak? Sejauh manakah tanggapan itu betul?

Meskipun pengeluaran simpanan berkenaan melegakan bagi pencarum terbabit, namun tidak dinafikan ia turut memberi kesan jangka panjang selain melebarkan jurang kekayaan.
Seyogia diingatkan, simpanan KWSP tidak sama dengan simpanan dalam ASB atau perbankan. Simpanan KWSP ialah simpanan jangka panjang khususnya untuk kegunaan selepas bersara.

Susulan ancaman Covid-19, caruman yang dikhususkan untuk persaraan telah dikeluarkan beberapa kali, dan kesudahannya simpanan persaraan berkenaan semakin berkurangan. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu mempunyai jumlah simpanan akaun satu sebanyak RM20,000, pengeluaran RM10,000 bermakna pengurangan sebanyak 50 peratus.

Berapa lamakah masa untuk pencarum itu dapat menyimpan kembali RM10,000? Bagi sebahagian pencarum, mereka menyimpan kurang daripada RM100 sebulan.

Dalam keadaan demikian, ada yang memberi jalan penyelesaian mudah. Golongan ini menggesa supaya kerajaan melanjutkan usia persaraan kepada umur 65. Bank Dunia mencadangkan agar umur persaraan dilanjutkan kepada 65 tahun secara berperingkat-peringkat untuk meningkatkan simpanan KWSP dan secara tidak langsung meningkatkan KDNK 0.3% setiap tahun.

Persoalannya, adakah ini jalan penyelesaian terbaik? Atau ia akan menimbulkan masalah lain yang lebih rumit lagi, misalnya kadar pengangguran yang lebih tinggi termasuk dalam kalangan siswazah?

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru