Wednesday, May 25, 2022

Selesai segera perselisihan faham

Secara Rawak

BINTULU: Pejabat daerah digesa menyelesaikan perselisihan faham dalam kalangan penduduk rumah panjang di Sungai Binyo, di sini.

Ketika membuat gesaan itu, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berkata, beliau telah bertemu dengan 22 ketua rumah panjang di sekitar kawasan itu pada Selasa dan Rabu lalu dan mendapati beberapa rumah panjang telah berpecah kerana perbezaan pendapat dalam kalangan penduduk.

“Beberapa bahagian rumah panjang dibahagikan kepada dua dan ada juga yang dibahagikan kepada tiga,” katanya dipetik melalui laman Facebooknya.

Tiong berkata, perpecahan seperti itu akan menyukarkan pihak berkaitan untuk mengemas kini maklumat dan butiran penghuni di rumah panjang dan mungkin memberi kesan kepada masa depan mereka.

Beliau juga mengingatkan pemimpin masyarakat dan pegawai daerah supaya sentiasa aktif dalam menangani pertikaian dan masalah yang timbul di rumah panjang.

“Sebarang masalah yang timbul perlu diselesaikan segera supaya keadaan tidak menjadi keruh selain tidak mahu operasi rumah panjang dan kesejahteraan penduduk turut terjejas,” katanya.

Tiong juga menekankan bahawa perpaduan antara rumah panjang yang berbeza adalah sangat penting kerana bekerjasama akan membolehkan banyak perkara dapat  diselesaikan dengan mudah.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru