Sunday, July 3, 2022

Kanak-kanak rentung dalam kebakaran

Secara Rawak

SARATOK: Berbaki 48 jam umat Islam menyambut Aidilfitri, kita dikejutkan dengan tragedi menyayat hati apabila seorang kanak-kanak perempuan kelainan upaya (OKU) ditemui rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Tanjung Hulu, Jalan Abang Haji Puteh Alias, di sini malam tadi.

Dugaan sebelum Aidilfitri itu berlaku kira-kira jam 8.18 malam yang turut memusnahkan sebuah rumah dua tingkat.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Saratok dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Semasa operasi pemadaman terkawal dan proses overhaul dilakukan, pihak bomba menemui satu mayat iaitu seorang kanak-kanak perempuan OKU lemah pembelajaran berumur 12 tahun ditemui rentung di ruangan bilik tidur.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum kejadian, PGO Bomba Sarwak berkata, mangsa berada di bilik tidur tingkat atas manakala nenek, sepupu dan ibu saudaranya berada di tingkat bawah.

Jelasnya, bapa mangsa ketika itu telah keluar rumah membeli barang keperluan kerana telah berlaku terputus bekalan elektrik di rumah.

Katanya, empat penghuni terdiri tiga perempuan dan seorang lelaki berumur antara 15 hingga 54 tahun terselamat dalam kejadian ini.

Operasi tamat pada jam 10.40 malam dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru