Wednesday, May 25, 2022

Tidak mengaku pukul guna rotan

Secara Rawak

KUCHING: Seorang lelaki tempatan mengaku tidak bersalah di hadapan Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan memukul seorang lelaki menggunakan rotan dalam satu kejadian kemalangan maut jalan raya di Jalan Astana, 20 April lalu.

Tertuduh berusia 42 tahun, membuat pengakuan itu selepas satu pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Maris Agan. Mengikut pertuduhan, dia sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa, 57, dengan memukul menggunakan senjata berbahaya.

Dia melakukan perbuatan itu di Jalan Astana, di sini, sekitar jam 7.50 pagi, 20 April lepas. Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika disabit bersalah.

Bagaimanapun, Maris membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 serta seorang penjamin tempatan. Mahkamah menetapkan tarikh bagi sebutan semula pengurusan kes pada 30 Mei depan.

Menurut laporan media terdahulu, pihak polis telah menahan seorang lelaki yang dipercayai memukul individu yang memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan di Jalan Astana.

Penangkapan terbabit susulan laporan waris mangsa selepas lelaki tersebut dimasukan ke hospital untuk rawatan lanjut. Semasa tangkapan, pihak polis turut merampas sebatang rotan yang dipercayai digunakan suspek untuk memukul mangsa semasa kejadian.

Punca kejadian disebabkan oleh salah faham dalam satu kemalangan maut yang melibatkan sebuah lori dan motosikal di Jalan Astana.

Semasa kejadian, mangsa cuba memberi bantuan kecemasan awal kepada penunggang motosikal, namun mangsa telah disalah anggap oleh tertuduh sebagai pemandu lori terbabit lalu bertindak memukul mangsa.

Selain itu, terdapat satu video berdurasi 20 saat yang dimuat naik dalam media sosial menjadi tular apabila memaparkan mangsa mengalami kecederaan akibat di pukul di lokasi kejadian.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tan Chuan Yi manakala tertuduh diwakili peguam Grace Ling.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru