Thursday, May 26, 2022

Ratah anak sendiri, si ayah durjana terima 34 sebatan

Secara Rawak

SIBU: Nasi sudah menjadi bubur dan sesal kemudian tiada gunanya, walaupun merayu peluang kedua dan berjanji akan berubah menjadi ayah yang baik namun penyesalan itu telah tiada makna.

Durjana, itulah ungkapan sesuai menggambarkan seorang bapa yang tergamak meratah tubuh anaknya sendiri. Sebagai balasannya, tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama 18 tahun berserta 34 sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada Khamis.

Hakim Marutin Pagan yang membicarakan kes tersebut memerintahkan supaya hukuman itu dijalankan mulai tarikh tangkapan tertuduh pada 12 April lalu.

Tertuduh berusia 40 tahun didapati bersalah melakukan tabiat terkutuk itu ke atas anak perempuannya berusia 16 tahun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh merogol anak perempuannya sebanyak tiga kali di dalam bilik mereka di sebuah rumah panjang di Batu 14, Jalan Oya. Kesalahan pertama dilakukan pada 11 Mac, kemudian 26 Mac dan ketiga pada 1 April. Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana menyentuh badan mangsa sebanyak empat kali dalam tempoh yang sama.

Dalam sesi rayuan, tertuduh merayu untuk diringankan hukuman penjara, dengan merayu supaya diberi peluang kedua menjadi ayah dan suami yang baik.

Tertuduh menambah dia mempunyai ibu bapa yang sudah tua yang tidak mempunyai sesiapa untuk menjaga mereka. Tertuduh juga berkata, dia kesal dengan kelakuan tidak senonohnya itu.

Timbalan Pendakwa Raya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana sebagai seorang bekas tentera, tertuduh sepatutnya menunjukkan contoh yang baik dalam menjaga keselamatan masyarakat.

Beliau berkata, tertuduh telah menyalahgunakan amanah yang diberikan dengan merogol mangsa. Tertuduh ditahan selepas guru mangsa yang mengetahui perkara itu membuat laporan polis.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru