Wednesday, May 25, 2022

Perayaan Aidilfitri: Baru Bian imbau kenangan manis era 60-an, 70-an

Secara Rawak

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ba’Kelalan Baru Bian mengimbas kembali kenangan manis pada dekad 60-a dan 70-an ketika meraikan pelbagai perayaan keagamaan, termasuk Aidilfitri.

Menurut beliau yang juga ahli parlimen Selangau,  mereka yang membesar pada era tersebut pasti masih mengingati kenangan manis, terutamanya apabila menyambut perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan perayaan Tahun Baru Cina.

“Pada ketika itu, kami tak sabar untuk melawat rakan sekelas untuk menyambut perayaan mereka. Kami langsung tidak kisah  berjalan kaki di bawah terik  matahari  walaupun jaraknya agak jauh,” katanya mengimbas kembali detik-detik manis itu.

“Semua rumah terbuka kepada semua orang, dan tiada keperluan untuk jemputan,” katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri yang disambut umat Islam  awal minggu depan.

“Kami disambut dengan ikhlas ke setiap rumah yang kami kunjungi,”  kongsi beliau lagi.

Baru menyatakan beliau sering mengimbas kembali keseronokannya bersama-sama rakan sekelasnya, berjalan sejauh tiga batu dari SMK Limbang ke bandar Limbang untuk melawat semua rumah di sepanjang jalan yang meraikan perayaan tertentu.

Setelah sampai di kota, mereka akan berjalan balik sejauh tiga batu untuk kembali ke sekolah, dengan perut yang kenyang dan penuh bersemangat.

“Pada masa tersebut kita merasakan hubungan yang begitu akrab sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, bersatu dalam identiti yang sama sebagai rakyat Sarawak, yang hidup bersama-sama secara harmoni, penerimaan menyeluruh dan menghargai kepelbagaian agama, budaya dan tradisi kita,”  katanya lagi.

Justeru, beliau berharap Sarawak dapat  terus menjadi contoh dalam semangat keharmonian dan penerimaan semua kaum tanpa batasan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru