Wednesday, May 25, 2022

Diperdaya bomoh, wanita ini rugi RM31,451

Secara Rawak

MUKAH: Seorang wanita mengalami kerugian RM31,451 selepas menjadi mangsa penipuan bomoh dalam talian melalui laman sosial Facebook baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias berkata mangsa seorang pengasuh 38 tahun itu pada awalnya melayari media sosial Facebook pada 24 April lalu dan mengenali seorang lelaki Indonesia yang dikenali Ustaz Mangkubono

Katanya dari perkenalan itu mangsa berkongsikan masalah kepada lelaki berkenaan bahawa dirinya ada menghidap penyakit sawan, kemurungan dan ada masalah dengan teman lelaki. Maka lelaki berkenaan juga telah memberikan penerangan kepada suspek tentang upacara ritual bagi menyembuhkan sesuatu penyakit dengan cepat dan akhirnya mangsa percaya.

“Setelah mangsa diyakinkan oleh suspek berkaitan kaedah dan keberkesanan perubatan tersebut, suspek mengatakan dirinya memerlukan modal kewangan untuk membeli barang-barang keperluan ritual.

“Pengadu yang termakan dengan kata-kata suspek melakukan tujuh transaksi wang ke akaun Bank Ramyat Indonesia dengan penama Leni Taryati dari 24 April hingga 26 April yang lalu dengan jumlah transaksi RM23,451.00.

“Manakala transaksi kelapan pada 26 April yang lalu ke akaun Maybank dengan penama Lim Siew Chian berjumlah RM8,000.00,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut mangsa dirinya sentiasa dihubungi suspek untuk meminta wang, oleh kerana merasakan dirinya telah ditipu mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Mukah.

Dedahnya lagi mangsa memperoleh wang berkenaan adalah daripada hasil jualan dan gadaian emas miliknya serta meminjam wang daripada keluarganya bagi menanggung kos ritual perubatan tersebut.

Segala kenyataan mangsa dirakam di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah dan segala dokuman sokongan dari mangsa turut diperoleh bagi membolehkan kertas siasatan dibuka.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu Bomoh Online) IPD Mukah.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru