Saturday, June 25, 2022

Berwaspada elak Covid menular musim perayaan

Secara Rawak

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menggesa orang ramai khususnya penduduk tempatan untuk tidak leka dengan terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan Covid-19 mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meskipun situasi wabak di negeri ini menunjukkan trend penurunan.

Pengarahnya, Dr Ooi Choo Huck berkata, sebanyak 6,839 kes baharu dan 41 kes kematian Covid-19 dilaporkan pada 1 April sehingga 28 April 2022 berbanding 38,589 kes baharu dan 61 kes kematian pada Mac lalu.

“Statistik ini menunjukkan trend penurunan bagi kes baharu dan kes kematian dengan kapasiti hospital yang semakin baik.

“Secara tidak langsung ia melambangkan situasi pandemik Covid-19 semakin pulih di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kadar penggunaan katil bukan ICU mencecah 26 peratus dan penggunaan katil ICU pada 10 peratus pada minggu Epid ke-16 (17-23 April 2022) berbanding 40 peratus dan 36 peratus bagi minggu Epid ke-13(27-2 April 2022).

Tegasnya, pencapaian tersebut susulan dari keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam, termasuk program vaksinasi Covid-19 dalam menguruskan penularan jangkitan pandemik itu di Sarawak.

Selain itu katanya, ia juga banyak disumbangkan oleh kesederan orang ramai mengenai kepentingan mengamalkan langkah-langkah pencegahan disarankan oleh KKM.

Justeru beliau menegaskan agar langkah-langkah pencegahan terus diamalkan seperti pemakaian pelitup muka apabila berada di kawasan bangunan dan pengangkutan awam e-hailing, bersama orang berisiko dan tempat orang ramai atau sesak.

Selain itu katanya, amalan menjaga kebersihan tangan juga harus dipelihara kerana amalan tersebut membantu dalam pencegahan penyakit Covid-19 dan juga penyakit lain terutamanya penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Tegasnya, JKNS sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dengan meningkatkan liputan vaksinasi Covid-19 yang tinggi di Sarawak untuk semua kumpulan sasaran dan pemberian dos penggalak Covid-19 kedua kepada individu berisiko tinggi.

“JKNS menyediakan bekalan ubat antiviral Covid-19 yang telah ditempatkan di hospital dan klinik kesihatan.

“Selain itu memastikan bilangan katil ICU mencukupi, berserta Hospital Medan yang telah wujud di Hospital Sibu serta mengekalkan kapasiti ujian yang tinggi di makmal kerajaan dan swasta serta penggunaan rapid test kit sebagai ujian pengesanan Covid-19,” ujarnya.

Dedahnya, Sarawak telah mencapai 80.6 peratus liputan vaksin bagi seluruh populasi setakat 26 April 2022.

Peratusan liputan dos kedua populasi dewasa iaitu berusia 18 tahun ke atas adalah 91 peratus, remaja berusia 12 hingga 17 adalah 93.1 peratus manakala peratusan liputan dos pertama kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun adalah 79.7 peratus

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru