Sunday, June 26, 2022

368 orang dari kawasan Tupong menerima bantuan sempena raya

Secara Rawak

KUCHING: Seramai 368 penerima daripada lapan buah kampung sekitar kawasan N6 Tupong menerima sumbangan daripada Lembaga Amanah Kebajikan Muslim sebagai persediaan menjelang Hari Raya.

Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata bantuan yang diberikan merupakan salah satu cara untuk berkongsi rezeki kepada golongan yang memerlukan, di samping meraih berkat terhadap harta kurniaan Tuhan.

“Ramadan mendidik kita untuk menyelami erti kepayahan kehidupan yang menimpa golongan tidak bernasib baik.

“Pada masa sama, bulan ini juga mengajar kita untuk muhasabah diri untuk menjadi insan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Muslim Kampung Gita Matang di Masjid At Taqwa, Kampung Pinang Jawa, di sini, hari ini.

Tambahnya, di bulan mulia ini, umat Islam sememangnya dituntut untuk banyakkan sedekah serta mengeluarkan zakat bagi yang mampu.

Melalui amalan tersebut jelasnya, pasti dapat memupuk semangat saling tolong menolong, serta mencorakkan jiwa yang berkasih-sayang dalam kalangan masyarakat.

Sementara, Adun Tupong Fazruddin Abdul Rahman turut hadir, berkongsi sedikit ucapan ketika program berlangsung.

Menurutnya, hasil kerjasama pihak yang terlibat telah berjaya meringankan sedikit beban golongan sasaran menjelang hari raya melalui pengagihan sumbangan.

“Kita akan sentiasa memberikan perhatian kepada masyarakat di kawasan sekitar agar tiada yang tercicir daripada bantuan,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru