Wednesday, May 25, 2022

Semangat beduruk azimat PRS

Secara Rawak

SIBU: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Jospeh Salang Gandum menyeru masyarakat Dayak di Sarawak terutama di kawasan Parlimen PRS mengamalkan semangat ‘beduruk’ bagi merealisasikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Jelasnya, beduruk yang bermaksud saling membantu dan bertolak ansur akan mewujudkan kedamaian dalam landskap politik dalam kalangan pemimpin serta akar umbi.

Bekas Ahli Parlimen Julau itu berkata, berdasarkan pengalaman lalu, beliau percaya semangat ini mampu mematahkan cubaan individu tertentu mengamalkan politik wang atau sabotaj dalam kalangan parti.

“Kalau kita bekerjasama membantu satu sama lain, kita boleh mencapai kemenangan yang baik di Julau,” ujarnya. “Tetapi sekiranya kita tidak menyokong satu sama lain, ada yang sabotaj, seperti ketika saya dahulu pada 2018 kita tahu masa itu pengaruh wang dan ada individu tertentu yang sengaja tidak menyokong saya, maka kalahlah saya,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Persidangan Perwakilan Tritahunan Kelima Badan Induk PRS di Kingwood Hotel malam kelmarin.

“Ini adalah penyakit di kebanyakan tempat dan ini harus diingat, kita ditolong orang di Julau maka kita juga menolong orang lain di tempat lain,” jelas Salang. Dalam perkataan masyarakat Iban ‘beduruk’ kamu tolong saya, saya tolong kamu,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden PRS Datuk Majang Renggi, Naib Presiden Kanan PRS Datuk John Sikie Tayai, Setiausaha Agung PRS Datuk Janang Bunsu, Ketua Pemuda PRS Datuk Snowdan Lawan, Ketua Wanita PRS Datuk Seri Doris Sophia Brodie serta pemimpin parti yang lain.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru