Wednesday, May 25, 2022

Perubahan demi masyarakat Dayak

Secara Rawak

SIBU: Presiden baharu Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum bertekad membawa perubahan untuk menarik lebih ramai masyarakat Dayak khususnya di kawasan luar bandar.

Berucap pada Majlis Makan Malam sempena berakhirnya Persidangan Perwakilan Tritahunan Kelima PRS di sini malam kelmarin, beliau turut memberi jaminan bahawa parti itu akan terus mengamalkan dasar buka pintu kepada semua yang berminat untuk menyertainya.

Ini menurut beliau, adalah usaha untuk menambah baik parti dan tidak hanya berperanan sebagai wadah politik sahaja malah lebih keterbukaan. “Wanita, lelaki mahupun yang muda atau sudah tua semuanya mempunyai tempat di dalam parti. “Kita mahu parti bukan sahaja sebagai gerakan politik tetapi juga sebagai gerakan sosial yang akan mengangkat martabat masyarakat Dayak,” ujar beliau.

Selain itu, beliau juga mahu Majlis Tertinggi PRS akan melawat semua 38 bahagian partinya terutamanya bahagian yang tidak mempunyai wakil rakyat atau wakil rakyat dalam majlis tertinggi parti.

Salang berkata, ia membolehkan parti sentiasa memainkan peranannya menjaga kebajikan ahli dan bukan hanya masa pilihan raya sahaja menunjukkan sikap keprihatinan. Beliau mahu parti itu menggalakkan lebih ramai rakyat Sarawak yang belum menyertai mana-mana parti politik untuk menyertai PRS.

“Saya menggesa Pergerakan Wanita PRS untuk mengambil lebih ramai ahli wanita, terutamanya mereka yang berumur antara 18 dan 28 tahun di bawah Pewaris PRS.

“Lingkungan umur tersebut amat kurang dalam ahli parti dan kita kena fikir untuk menambahkan jumlah golongan tersebut ke dalam parti kita. “Mereka juga boleh menjadi ketua atau pengerusi dalam organisasi kita kerana semua mempunyai tempat di dalam parti seperti yang sebutkan tadi,” tegas beliau.

Rentetan itu, beliau mahu semua ahli parti memikirkan atau menyumbangkan idea bagaimana untuk menjadi PRS sebagai sebuah parti yang ‘menyeronokkan’ serta lebih keterbukaan dengan penyertaan pelbagai lapisan peringkat umur.

Beliau juga mahu Majlis Tertinggi PRS untuk mencari dana bagi membantu bahagian parti yang tidak mempunyai sumber pendapatan sendiri. “Dengan adanya dana ia akan membolehkan cawangan dan bahagian parti mengadakan lebih banyak aktiviti. Ini akan memastikan cawangan atau bahagian parti bukan sahaja aktif sebelum TDC tetapi aktif juga selepas TDC.

“Jangan lagi menjadikan parti yang digunakan untuk masa pilihan raya sahaja tetapi lepas pilihan raya semua dilupakan. “Begitu juga ahli, masa pilihan raya segala keringat tenaga mereka digunakan tetapi sebaik lepas pilihanraya mereka dilupakan malah diabaikan,” tegas beliau.

Salang mahu semua ahli dalam cawangan dan bahagian dianggap penting, oleh itu beliau menggesa Ahli Majlis Tertingginya untuk melawat setiap cawangan dan bahagian di seluruh negeri ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru