Saturday, June 25, 2022

Perpaduan kekuatan parti

Secara Rawak

MIRI: Kemenangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 lalu membuktikan parti itu kuat dan perlu dipertahankan.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Naib Yang di-Pertua PBB, Datuk Julaihi Narawi berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya memenangi 76 daripada 83 kerusi yang dipertandingkan.

“Ini merupakan satu petanda daripada rakyat Sarawak bahawa PBB adalah parti tulang belakang dan tunjang kepada Kerajaan Sarawak… bahkan kita turut menghormati parti-parti lain di Sarawak.

“Sebagai sebuah parti yang mempunyai sejarah yang begitu lama mempunyai kekuatan sebagai tulang belakang kerajaan pada hari ini, ia banyak bergantung kepada perpaduan dan disiplin semua lapisan kepimpinan dan ahli-ahlinya di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Perwakilan Tiga Tahun Sekali PBB Cawangan N.75 Senadin pada Sabtu. Julaihi berkata disiplin dan perpaduan ini perlu dipertahankan kerana ia menjadi asas kepada kekuatan PBB pada masa akan datang.

“Kita tidak mahu menggadaikan disiplin yang telah lama bertapak dalam parti kita. “Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita semua bukan hanya di peringkat Cawangan Senadin, tetapi di seluruh Sarawak, adalah menjadi tanggungjawab semua ahli, semua barisan kepimpinan untuk memastikan bahawa perpaduan dan disiplin parti wajar menjadi keutamaan kita kerana inilah yang menjadikan PBB kukuh,” tegasnya.

Menurutnya meskipun mempunyai peranan yang besar dengan mempunyai 47 ahli dalam Dewan Undangan Negeri (Dun), tetapi PBB bukan bersifat inklusif. “PBB memperjuangkan hak untuk semua iaitu hak rakyat di seluruh Sarawak dan ini menjadi agenda utama Kerajaan Sarawak yang ditunjangi oleh parti PBB.

Sementara itu, Kaunselor Julaihi Mohamad (penyandang sebelum ini) yang juga Timbalan Datuk Bandar Miri menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua PBB Cawangan N.75 Senadin. Manakala Timbalan Ketua Cawangan dimenangi Abdul Samat Mophamed Ali dan Naib Ketua Cawangan dimenangi Cho Nyalo.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru