Thursday, May 26, 2022

Debat Najib-Anwar 12 Mei: Siapa lebih hebat?

Secara Rawak

BUKAN selalu kita berpeluang menyaksikan debat umum antara tokoh politik kerajaan dengan pembangkang di negara ini. Jadi, apabila dua tokoh politik terbabit bersetuju untuk berdebat, tentu perkara ini mengundang perhatian rakyat.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju mengadakan debat pada 12 Mei ini. Debat berkenaan akan berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya pada jam 9 malam. Kita harap debat ini disiarkan secara langsung melalui rangkaian televisyen nasional.

Seyogia diingatkan, sejak tumbang dari tampuk pentadbiran negara pada 2018, Najib telah mencabar pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan pemimpin Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berdebat dengan beliau. Jadi, kali ini peluang sudah terhidang, maka Najib perlu memanfaatkannya sebaik mungkin untuk berdebat secara profesional dengan musuh politiknya itu.

Anda tentu masih ingat debat antara Anwar dengan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Chik pada 15 Julai 2008 berkaitan kenaikan harga minyak. Tajuk debat berkenaan ialah “Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak.”

Debat sejam itu merupakan debat pertama antara pemimpin pembangkang dengan kerajaan. Yang menarik, debat itu disiarkan secara langsung melalui beberapa rangkaian televisyen nasional dan mendapat perhatian ramai. Moderator debat itu ialah Tan Sri Johan Jaaffar.

Saya telah membuat analisis termasuk dari segi penggunaan dalil dan retorik oleh kedua-dua pendebat. Kajian itu telah saya bentangkan di Kota Kinabalu Sabah suatu ketika dahulu. Saya membuat kesimpulan bahawa Anwar mengalahkan Ahmad Shabery dalam debat itu berdasarkan hujah konkrit yang lebih meyakinkan. Hal ini dibantu oleh kemahiran dan keupayaan Anwar dari segi bahasa, selain kelebihan menguasai fakta sebagai bekas Menteri Kewangan.

Ahmad Shabery kelihatan agak banyak menyerang peribadi dan menyindir Anwar – sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pendebat. Prestasi beliau bukan sahaja amat mengecewakan tetapi gagal meyakinkan khalayak dengan hujah dan wacana yang meyakinkan. Beliau kelihatan gementar berdepan dengan Anwar.
Pada 2012, Rafizi Ramli dari PKR berdebat mengenai isu pinjaman PTPTN dengan Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno ketika itu.

Sementara itu, pemimpin DAP Lim Guan Eng sudah dua kali berdebat dengan seteru utamanya dari MCA. Pertama kali dengan Presiden MCA ketika itu, Chua Soi Lek pada 2012. Kali kedua pula dengan Presiden MCA Wee Ka Siong pada tahun lepas berkaitan dasar kabotaj.

Anwar dan Najib pernah disabitkan kesalahan jenayah. Anwar, Ahli Parlimen Port Dickson, menjalani dua hukuman penjara bagi kesalahan rasuah dan liwat. Najib, Ahli Parlimen Pekan kini menunggu rayuan terakhir di mahkamah selepas disabitkan kesalahan penyelewengan wang jutaan ringgit.

Ketika masih menjadi Perdana Menteri pada 2017, Najib pernah melawat pemimpin PKR itu di hospital bersama-sama isterinya. Pada 2020, Najib juga pernah menyatakan sokongan terhadap Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Kedua-dua tokoh politik negara itu akan membincangkan isu Sapura Energy Bhd (SEB) yang dilaporkan mengalami kerugian RM8.9 bilion pada tahun lepas. Inilah sebenarnya yang mencetuskan pertikaian antara Rafizi dengan Najib sehingga membawa kepada debat ini.

Beliau mendesak agar syarikat itu diselamatkan, namun idea itu ditentang oleh Rafizi yang menghujahkan bahawa dana itu boleh disalurkan untuk tujuan lebih baik.

Pada 14 April Najib menegaskan beliau langsung tidak takut untuk berdebat dengan Anwar mengenai isu berkenaan. Anwar pula meminta Najib supaya tidak berdolak-dalik berkaitan pelaksanaan debat tersebut mengenai isu kewangan syarikat berkaitan kerajaan itu. Saya yakin Anwar yang dikenali sebagai pemidato dan pendebat yang dikagumi, juga langsung tidak gentar berdepan dengan Najib.

Adakah debat kali ini benar-benar mengundang minat dalam kalangan rakyat seperti yang berlaku menjelang debat antara Anwar dengan Ahmad Shabery dahulu? Apa-apa pun, debat ini akan memberi peluang kepada rakyat untuk menilai hujah dan pandangan kedua-dua tokoh itu. Perbezaan pandangan perlu diraikan kerana inilah antara tanda demokrasi matang.

Adakah debat itu akan mendatangkan hasil yang dikehendaki? Ya, untuk meleraikan kekusutan dan menyatakan kebenaran berkaitan kerugian syarikat berkenaan. Yang penting, debat ini tidak harus digunakan untuk memenuhi agenda peribadi tokoh terbabit atau parti yang diwakili masing-masing.

Mereka tidak harus menggunakan wadah itu untuk memposisikan atau mengukuhkan kedudukan mereka dalam usaha untuk memulihkan dan mengukuhkan imej dan reputasi masing-masing. Seyogia diingat, Najib yang kini terkenal dengan gelaran ‘Bossku” sedang dilingkari isu besar manakala Anwar pula merudum imejnya susulan kekalahan PKR dalam tiga pilihan raya negeri – di Melaka, Sarawak dan Johor.

Ini bukan debat anak sekolah yang hendak tunjukkan siapa yang pintar dan hebat dalam perdebatan. Tujuan asal adalah, wajarkah Sapura Energy dibantu dan diselamatkan oleh kerajaan sebagaimana dianjurkan oleh Najib?

Sementara Najib perlu membentangkan hujah-hujahnya, Anwar dalam debat itu nanti perlu mengemukakan wacana tandingan dengan hujah yang lebih meyakinkan untuk mematahkan hujah dan alasan yang dikemukakan oleh Najib. Yang akan diberi perhatian oleh khalayak dan rakyat dalam debat itu nanti adalah bagaimana Anwar dan Najib dapat mengemukakan dalil masing-masing.

Wacana perlu dibalas dengan wacana tandingan dengan fakta, data dan hujah yang konkrit dan meyakinkan. Bukannya dengan serangan peribadi, sindiran dan perkara yang terkeluar daripada tajuk dan persoalan pokok debat.

Ingat, sekali lagi, ini bukan debat tahap budak sekolah atau kelab peringkat kampung. Ini membabitkan isu kepentingan syarikat besar dan negara, dan membabitkan dua tokoh besar politik negara. Jadi, kita mengharapkan idea dan pandangan bernas daripada mereka bagi meleraikan sebarang kekusutan, kekeliruan dan kekaburan tentang isu yang dibicarakan.

Untuk itu, penggunaan dalil seperti testimoni, contoh, ilustrasi, anekdot, statistik dan analogi amat penting. Ketika cuba mematahkan hujah lawan, kedua-dua mereka perlu tampil dengan dalil dan alat sokongan yang lebih konkrit dan meyakinkan. Di sinilah kepantasan berfikir dan keluasan ilmu amat penting.

Untuk membalas hujah lawan, pendebat perlu berfikir secara kritis dan analitis, dan tahu apa data, fakta dan hujah hendak digunakan bagi menangkis kenyataan lawan. Di situlah khalayak akan menilai kelebihan dan kehebatan pendebat terbabit. Kritikan dan kupasan rasional dan objektif amat berguna dalam memberi pencerahan terhadap sesuatu isu. Jadi, kedua-dua pendebat perlu fokus kepada inti pati dan persoalan pokok debat, dan bukannya menyimpang daripada tajuk dibicarakan. Ya, tiada ruang untuk merapu.

Selain itu, bagaimana pendebat memanfaatkan teknik dan unsur retorik juga penting. Tidak syak, dari segi ini, Anwar yang dikenali sebagai orator hebat, mempunyai kemahiran berbahasa yang tinggi. Tentu beliau aman memanfaatkan kemahiran itu dengan menggunakan teknik retorik dan pembujukan yang sesuai, termasuk tentunya soalan retorik, hafifora, perulangan, anafora, triad atau tricilon, perbandingan, peribahasa dan lain-lain. Harus diingat, terdapat sekitar 20 teknik retorik dapat dimanfaatkan oleh pendebat untuk memastikan hujahnya dapat disampaikan dengan jelas, berkesan dan meyakinkan.

Memandangkan debat ialah satu bentuk pengucapan awam, maka bagaimana kedua-dua mereka menggunakan bahasa badan juga akan memberi kesan terhadap tanggapan khalayak. Jadi, ekspresi muka, gerak tangan, intonasi suara dan sebagainya juga turut memainkan peranan. Mereka bukan sahaja perlu dilihat ekspresif dan komunikatif dalam penggunaan bahasa, tetapi juga dari segi bahasa badan.

Kita mahu menyaksikan debat yang profesional, objektif dan berkualiti tinggi daripada kedua-dua pemimpin, dan bukannya debat kelas murahan yang bertujuan untuk menyerang lawan atau parti lawan. Biarlah rakyat dan khalayak menilai, hujah siapa yang lebih realistik dan meyakinkan berdasarkan idea, komen, pandangan dan analisis yang diketengahkan nanti.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru