Saturday, June 25, 2022

Zahid: Jangan ikut rentak tari parti lawan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli parti supaya tidak mengikut rentak tari parti musuh yang penuh muslihat.

“Jangan pula tindak tanduk kita umpama musuh parti luar yang sama menari ikut rentak mereka,’ katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu merujuk kepada dokumen bocor yang kini dikenali sebagai PASleak yang dikatakan mengandungi campur tangan dalam proses kehakiman.

“Sudah pasti ahli parti setia akan sentiasa berwaspada setiap kenyataan, setiap langkah, pendirian dan tindak tanduk pemimpin mereka dan pemimpin lawan mereka,” katanya.

Tegasnya, ahli parti yang setia akan memastikan keutamaan parti sendiri ialah nombor satu manakala kepedulian parti luar lebih-lebih lagi yang telah mengkhianati muafakat parti tidak wajar diberikan tempat dalam keutamaan parti.

“Ketika musuh luar parti bermuslihat dan dengan licik cuba memperdaya parti lawan menggunakan pelbagai taktik dan strategi, kita sebagai orang parti dari ahli biasa ke peringkat bahagian parti perlu lebih bijaksana dalam membaca gerak geri lawan,’ katanya.

Zahid tidak menyebut nama individu yang dirujuknya, namun  dipercayai  beliau merujuk kepada Tan Sri  Annuar Musa yang menganggap dokumen “PasLeak” bukan sesuatu yang luar biasa dan tidak perlu diperbesar.

“Sekali dua kenyataan bertentangan dengan dasar parti dapatlah dianggap kebetulan, namun sudah beberapa kali itu namanya bukan kebetulan lagi!,” tegasnya.

“Sekali kita bersetia, janganlah berderhaka kepada parti. Tanpa parti tiadalah jawatan menteri atau lantikan politik,” katanya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru