Wednesday, May 25, 2022

Pembangkang Sarawak mahu bersatu gempur GPS dalam PRU-15?

Secara Rawak

Kini ada kesedaran di pihak DAP Sarawak untuk menjalinkan kerjasama dengan parti pembangkang lain di negeri ini.

Ya, mungkin selepas parti itu kalah teruk dalam PRN-12 pada 18 Dis lalu.

Mereka sudah belajar daripada kesilapan bahawa tidak ada untungnya jika mereka berbalah dan berpecah.

Justeru, Timbalan Pengerusi DAP Sarawak, Alice Lau dilaporkan media bahawa pihaknya dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan memulakan rundingan esok.

Ini jelasnya  bagi membentuk kerjasama dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

PH mengalami kekalahan besar di Sarawak apabila DAP hanya memenangi dua daripada 24 kerusi yang ditandinginya.

PSB yang bertanding di 72 kerusi hanya menang empat kerusi – jauh di bawah sasarannya.

PKR  yang memenangi tiga kerusi DUN dalam PRN 2016 tersingkir di semua 28 kerusi pada PRN lepas.

Amanah yang bertanding di lapan kerusi juga tewas kesemua kerusi.

Pertandingan pelbagai penjuru memecahkan undi dalam PRN yang menyaksikan kehadiran 10 parti bertarung.

Hal ini diburukkan lagi dengan peratusan mengundi yang rendah – terendah dalam sejarah PRN Sarawak sejak 1969. Peratusan yang turun mengundi adalah sekitar 56 peratus.

Timbalan Pengerusi DAP, Bendahari DAP Sarawak, Chiew Chiu Sing dan Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling akan mewakili parti itu, manakala Presiden PSB Wong Soon Koh akan turut serta dalam rundingan tersebut.

Alice menjangkakan PRU ke-15 akan diadakan pada bila-bila masa, kemungkinan ia diadakan selepas Hari Raya atau selepas Hari Gawai.

Namun, ada yang meramalkan PRU-15 akan diadakan pada bulan September depan selepas berakhirnya MoU antara kerajaan PN dengan PH.

Dalam PRU-14, pembangkang telah memenangi 19 daripada 31 kerusi Parlimen, terbaik dalam  sejarah PRU.

Persoalannya, parti manakah yang bersedia untuk mengorbankan kerusi mereka?

Mungkinkah pembangkang dapat bersatu untuk menggempur GPS nanti?

Dalam beberapa pilihan raya lalu, kelihatannya sukar untuk pembangkang bersatu sehingga akhirnya mereka bertembung sesama sendiri.

Namun pengamat politik percaya, sukar untuk pembangkang menggugat GPS kali ini.

Kemenangan besar GPS dalam PRN lalu memperlihatkan sentimen rakyat memang memihak kepada gabungan itu.

Sebahagiannya kerana dasar dan lebih seratus inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan GPS di bawah pimpinan Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Juga, disebabkan kekecewaan rakyat terhadap prestasi  buruk PH, dan janji yang gagal dikotakannya. Ini menjengkelkan mereka. Mereka tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Rakyat masih ingat bagaimana PH kemukakan manifesto yang tebal menjelang PRU lalu.

Tetapi kebanyakannya gagal ditunaikan, termasuk memberi 20 peratus minyak kepada Sarawak.

Yang masih diingat rakyat Sarawak adalah bagaimana kerajaan PH membatalkan banyak projek untuk rakyat, termasuk jambatan dan jalan raya.

Ini mungkin akan memberi kesan besar terhadap pola dan trend pengundian dalam PRU-15 nanti.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru