Tuesday, June 28, 2022

Syabas, PRS junjung perpaduan demi rakyat!

Secara Rawak

KUCHING: Kesepakatan yang dicapai Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS) dalam menentukan presiden baharu merupakan tindakan tepat bagi membolehkan parti itu fokus kepada rakyat.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebagai sebahagian daripada parti komponen, PRS memainkan peranan penting untuk mengekalkan Kerajaan Negeri yang stabil.

“Bukan sahaja untuk masyarakat Dayak, tetapi juga untuk rakyat Sarawak.  “Justeru, kita memerlukan mereka dapat menumpukan perhatian kepada tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Dengan mengelak persaingan dan pertembungan yang sengit, saya yakin PRS akan dapat memastikan keharmonian dan perpaduan daripada menimbulkan konflik. “Saya mendoakan yang terbaik untuk mereka dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan terus bekerjasama secara harmoni dengan semua wakil rakyat dan ahli PRS,” katanya.

Ahli Parlimen Kapit itu berkata demikian mengulas mengenai Majlis Tertinggi PRS yang telah bersetuju dan untuk mengetepikan keperluan mengadakan pemilihan pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan (TDC) serta melantik Datuk Joseph Salang sebagai presiden.

“Saya lega apabila mengetahui bahawa tidak akan ada perebutan jawatan presiden dalam PRS berikutan ia diselesaikan secara baik.  “Ini berita baik dan menggembirakan kerana akan membolehkan pemimpin dan ahli tertinggi parti PRS menyelesaikan masalah dan memberi lebih tumpuan kepada rakyat.

“Sebagai orang Dayak sendiri, sudah tentu saya tidak mahu melihat berlaku pepecahan puak dan konflik dalam kalangan pemimpin tertinggi Dayak, terutamanya dalam PRS yang merupakan sebahagian daripada gabungan GPS,” jelasnya.

Beliau turut berharap PRS akan terus menjunjung perpaduan dalam kalangan ahlinya dan bekerjasama secara harmoni untuk menyokong kemajuan masyarakat Dayak dalam usaha membawa lebih kejayaan untuk rakyat Sarawak amnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru