Monday, June 27, 2022

Buku Keluarga Malaysia diterbit

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama telah menerbitkan Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera bagi mendukung aspirasi Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Buku ini telah dirasmikan sendiri oleh Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Idris Ahmad mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) kerana telah berjaya membangun serta menerbitkan Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera. 

Katanya, proses pembangunan buku ini terdiri daripada panel-panel pakar daripada JAKIM, IKIM, UTM dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Pada majlis ini, beliau telah membentangkan kandungan Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera yang memberi penekanan kepada aspek memperkukuhkan semangat perpaduan dan sikap saling menghormati dengan mengambil kira konsep fiqh al-ta‘ayush, iaitu fiqh hidup bersama yang sesuai diamalkan di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya, penganut agama dan ideologi. 

“Objektif utama penerbitan Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera adalah sebagai panduan kepada pembuat dasar, pelaksana dan masyarakat di Malaysia untuk memahami asas pengukuhan Keluarga Malaysia sebagai keluarga besar yang sejahtera,” katanya. 

“Tiga teras utama digariskan dalam Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera iaitu pemeliharaan keharmonian antara kaum dan penganut agama, pengukuhan interaksi dan hubungan antara kaum dan pemerkasaan tadbir urus melalui pendekatan Maqasid Syariah yang menjaga lima prinsip iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta adalah sesuai untuk dilaksanakan di negara ini terdiri daripada masyarakat majmuk,” katanya lagi. 

Beliau berharap agar Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera ini dapat dijadikan rujukan dan panduan dalam usaha membumikan tindakan kepada masyarakat sehinggalah pemimpin di segenap sudut di Malaysia.  

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru