Sunday, September 25, 2022

Pegawai  SPRM halau, bertindak kasar  terhadap ahli politik: Dakwaan disiasat

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius dakwaan kononnya seorang pegawainya bertindak kasar dan menghalau ahli sebuah parti politik daripada membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM di sini, semalam.

SPRM dalam kenyataan  yang dipetik Bernama memaklumkan, siasatan lanjut berhubung dakwaan itu sedang dijalankan dan jika terdapat salah laku, tindakan sewajarnya akan diambil.

Semalam, tular video berdurasi 22 saat yang mendakwa seorang pegawai SPRM bertindak kasar dan menghalau ahli sebuah parti politik daripada membuat aduan, selain hanya dua individu dibenarkan masuk ke ibu pejabat suruhanjaya itu.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan peraturan Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL) diwarta, Bahagian Keselamatan SPRM hanya membenarkan tiga orang wakil pihak luar untuk masuk ke pekarangan dan dalam bangunan suruhanjaya itu, bagi bertemu pegawai bertugas untuk membuat aduan.

Rakaman video dan kamera juga tidak dibolehkan dalam KLTL tersebut, tanpa kebenaran pihak Pengurusan Tertinggi SPRM, menurut suruhanjaya itu.

“Bagaimanapun, dalam kejadian pada 11 pagi tadi (semalam), kira-kira tujuh daripada 25 individu dalam kumpulan tersebut, telah masuk secara berdua-dua ke pekarangan SPRM sehingga ke pintu utama bangunan.

“Individu tersebut juga tidak mematuhi peraturan KLTL kerana merekod video ketika berada di pekarangan dan dalam bangunan SPRM,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, SPRM mengesahkan telah menerima maklumat daripada ahli Parti Sosialis Malaysia, Dr Jeyakumar Devaraj, membabitkan dakwaan isu penyelewengan dalam urusan tanah kerajaan di Perak.

“SPRM akan mengkaji dan meneliti terlebih dahulu maklumat tersebut, sebelum sebarang tindakan lanjut dijalankan,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru