Friday, October 7, 2022

Naik taraf loji rawatan air Empangu siap

Secara Rawak

SIMANGGANG: Penduduk yang masih belum disambung bekalan air digesa agar mengemukakan permohonan semasa projek sedang dilaksanakan.

Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis yang juga Adun Simanggang memberitahu, projek menaik taraf kapasiti pengeluaran air di Loji Rawatan Air Empangu, Bayai daripada 33.3 juta liter sehari (MLD) kepada 53.3 MLD telah siap.

“Saya difahamkan projek bekalan air menampakkan perkembangan positif dengan kerja pembinaan fizikal bangunan telah siap, namun sekarang masih dalam fasa ujian kompetensi oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) bagi mengetahui keupayaan mesin.

“Justeru, dalam tempoh ini saya mengingatkan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) untuk memastikan penduduk di bawah seliaan masing-masing mengemukakan permohonan untuk mendapatkan penyambungan meter bekalan air terawat di kaunter JBALB,” katanya. Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke Pejabat JBALB Bahagian Sri Aman, kelmarin.

Beliau berterima kasih kepada pihak JBALB atas usaha menyelesaikan isu yang dibangkitkan meskipun bukan mudah. Pada sesi taklimat, Harden diberitahu Loji Rawatan Air Empangu membekalkan air ke kawasan Stumbin, Agropolitan Seduku dan SMK Melugu. Sementara tambahnya, terdapat perancangan masa hadapan untuk membina tangki air aras tinggi di SMK Simanggang, Taman Sri Jaya, Kem Pakit dan Simpang Klassen.

Dalam pada itu Jurutera Air JBALB Bahagian Sri Aman Adzahari Baini yang memberikan taklimat terperinci tentang projek menyatakan, walaupun kerja naik taraf Loji Rawatan Air Empangu telah siap, pihaknya masih menggunakan purata 45 peratus pengeluaran air.

“Ini disebabkan kenaikan tekanan pengeluaran air akan menjejaskan paip lama yang belum ditukar. “Saya optimis bekalan air terawat akan dinikmati oleh penduduk di kawasan Batu Lintang, Undop sebelum Gawai Dayak.

“Walaupun pada mulanya pelaksanaan projek bernilai RM42 juta daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menghadapi pelbagai kekangan termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun projek ini berjaya dilaksanakan,” jelasnya.

Adzahari menambah, kerja pemasangan meter air ke rumah individu di kawasan projek telah mencapai 48 peratus siap. Manakala kerja penukaran paip lama mencapai 78 peratus yang dijalankan mengikut fasa, iaitu fasa pertama melibatkan kawasan Jalan Ningkan Brayun, Jalan Club, Bandar Simanggang, Jalan Foo Chow Lorong 1 dan 2, Kawasan STC Bus Terminal, Loji Rawatan Air Melugu dan Jalan Paip Sri Aman.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru