Tuesday, August 16, 2022

Ibu empat anak rayu bantuan

Secara Rawak

MUKAH: Setelah lebih setahun disahkan mengalami penyakit buah pinggang, seorang ibu kepada empat cahaya mata yang menetap di Kuching merayu bantuan orang ramai bagi menampung kos rawatan susulannya.

Dayang Alizawati Awang Bujang, 40, memberitahu dia sudah tiga bulan menjalani rawatan hemodialisis di klinik swasta dengan kos mencecah hampir RM2,400 sebulan.

Meskipun disahkan menghidapi penyakit tersebut setahun lalu, dia baharu sahaja menerima rawatan hemodialisis tiga bulan lepas disebabkan ramai pesakit lain terpaksa menunggu bagi menerima rawatan.

Ibarat jatuh ditimpa tangga, sekitar tiga bulan lalu kesihatannya semakin terjejas apabila berat badan turun mendadak dari lebih 100 kilogram (kg) menurun kepada sekitar 40kg sahaja.

“Disebabkan pihak Hospital Umum melihat keadaan saya teruk sehingga tidak ada selera nak makan, muntah-muntah, mereka kemudian terpaksa menebuk leher saya untuk tujuan rawatan.

“Mungkin kerana badan saya dah terlalu banyak darah kotor ketika itu,” katanya kepada Suara Sarawak. Menurut Alizawati, dia kini bergantung sepenuhnya kepada suami yang bekerja sebagai pegawal keselamatan di salah sebuah sekolah rendah di sini untuk menjaga serta membawanya menerima rawatan.

Bagaimanapun katanya, pendapatan suami sememangnya tidak mencukupi untuk menampung kos rawatannya di samping perlu menyara kehidupan mereka sekeluarga dengan anak-anak yang masih bersekolah.

“Kos perbelanjaaan untuk mendapatkan rawatan sekali mencecah lebih RM200 dan saya terpaksa berulang-alik ke hospital setiap tiga kali seminggu bagi mendapatkan rawatan.

“Sebelum ini saya ada menerima bantuan sekali beri daripada pihak Biro Kebajikan Wanita dengan bantuan berjumlah RM1,000 dan daripada Biro Sekolah berjumlah RM2,000.

“Namun bantuan itu telah digunakan untuk rawatan sebelum ini yang mencecah RM2,400 sebulan,” ujarnya sambil menambah dia juga telah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun permohonannya masih menunggu kelulusan.

Kata Alizawati, meskipun malu untuk meminta bantuan tetapi keadaan memaksanya untuk berbuat demikian. Justeru, dia berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan bagi menampung kos rawatan yang terpaksa dijalaninya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Dayang Alizawati Awang Bujang bernombor 1399541100761201. Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan Alizawati di talian 011-51708560 (WhatsApp) dan 014-2075482.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru