Sunday, July 3, 2022

Hab pembangunan bakat industri

Secara Rawak

KUCHING: Penubuhan Jawatankuasa Perkhidmatan Pemacuan Industri dan Perundingan Sarawak Skills merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk bergerak menjadi sebuah Hab Pembangunan Bakat Berteraskan Industri.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Institusi Pembelajaran Kumpulan Sarawak Skills merangkap Pengerusi Persekutuan Pusat Pembangunan Kemahiran Malaysia (FMSDC) Hallman Sabri berkata ia akan memainkan peranan penting terhadap industri di Sarawak.

“Ia merupakan jawatankuasa strategik kelapan di bawah Majlis Pengurusan Sarawak Skills dan akan memainkan peranan penting dalam transformasi berterusan kami untuk menjadi pilihan terbaik dalam menyelesaikan keperluan pihak industri di negeri ini.

“Pada masa sama, kita juga akan meningkatkan lagi hubungan dengan kerajaan dan GLC sebagai penyedia pendidikan dan latihan berteraskan industri yang boleh dipercayai,” katanya.

Tambahnya, pembangunan Sarawak Skills adalah inisiatif  penting untuk menjadi pusat latihan berasaskan penyelidikan bagi membentuk trend industri dan menyumbang kepada transformasi sektor ekonomi utama negeri selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).

Jelasnya, penekanan utama akan diberikan dalam bidang pendigitalan dan automasi susulan ekonomi digital dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang semakin mendapat tarikan di Sarawak. Penekanan diberikan kepada dua sektor tersebut untuk mencapai objektif peningkatan kecekapan dan produktiviti melalui pertumbuhan enam sektor ekonomi utama di Sarawak.

“Bergeraknya kami ke hadapan, akan ada lebih banyak peluang untuk meningkatkan sinergi dalam kepakaran dan sumber yang dimiliki dengan pihak berkepentingan, terutamanya pihak kerajaan dan industri di luar sana,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perkhidmatan Pemacuan Industri dan  Perundingan Sarawak Skills Datuk Seri Victor Hii Lu Thian telah menyampaikan watikah pelantikan kepada ahli exco di Ibu Pejabat Kumpulan Sarawak Skills.

Penyampaian watikah pelantikan turut disaksikan Setiausaha Majlis Pengurusan Kemahiran Sarawak Datuk Maznah Dasmi. Hadir sama Ketua Pegawai Komersial (Penglibatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan) Sarawak Skills Mohamad Isham Fauzi; Pengurus Kanan, Penglibatan Strategik dan Perundingan Sarawak Skills John Rizal Biki dan pegawai pengiring daripada persatuan ahli exco dan Sarawak Skills.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru