Sunday, September 25, 2022

Jamin kejayaan pilihan raya

Secara Rawak

KUCHING: Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang sebulat suara mencadangkan Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) merupakan satu langkah strategik.

Penganalisis Politik Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, perkara tersebut menunjukkan bahawa kepimpinan Ismail Sabri semakin diterima khususnya dalam mewakili parti dan ia juga dapat dilihat dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Ini merupakan langkah strategik yang diambil oleh Umno, daripada mereka meletakkan calon baharu adalah lebih baik mereka menggunakan pendekatan untuk mencalonkan individu yang sudah sedia ada menjadi perdana menteri bagi mewakili mereka.

“Perkara tersebut juga boleh dilihat dapat menjamin kejayaan mereka menjelang PRU-15 kelak,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, kelmarin.

Sehubungan itu, tambahnya, beliau juga berpandangan bahawa usaha mencalonkan Ismail Sabri itu juga adalah untuk memastikan tiada kemelut yang berlaku.

“Kerana jika mereka mencalonkan orang lain atau yang belum pernah diuji mungkin akan berlaku perpecahan seperti wujud puak dan sebagainya.

“Justeru, dengan mengetengahkan Ismail Sabri untuk sekali lagi menjadi perdana menteri, Umno juga mungkin dapat meneruskan legasi kejayaan semasa di Melaka dan Johor jika dilihat dari sudut percaturan strategi berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya adakah mencalonkan Ismail Sabri sebagai perdana menteri mampu memberikan gambaran kemenangan besar kepada BN dan juga Umno beliau memberitahu, perkara sedemikian adalah subjektif.

Untuk rekod, MKT Umno pada 14 April lalu sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri untuk menjadi calon perdana menteri menjelang PRU-15 kelak.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan mendedahkan bahawa perkara itu juga telah diputuskan dalam mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada hari yang sama (14 April).

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru