Wednesday, May 25, 2022

Pati dibantu tekong cuba menyusup keluar ditahan

Secara Rawak

LUNDU: Tentera darat berjaya menahan lima pendatang asing tanpa izin (Pati) yang cuba menyusup keluar dari negara dibantu lima tekong tempatan di kawasan ladang kelapa sawit, di sini semalam.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, kumpulan lelaki menunggang lima motosikal dalam keadaan mencurigakan ditahan kira-kira jam 1.45 petang ketika anggota seksyen sedang menjalankan rondaan.

“Setelah pemeriksaan dibuat mendapati lima lelaki warga tempatan berusia sekitar 28 hingga 41 tahun dipercayai bertindak sebagai tekong yang membawa lima lelaki Pati warga Indonesia berusia 17 hingga 38 tahun untuk pulang ke negara asal melalui jalan yang tidak sah.

“Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM61,141.55 melibatkan lima buah motosikal, wang tunai berjumlah RM 27,839.70, 15 buah telefon bimbit serta barang kemas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua individu tersebut bersama barangan rampasan telah diserahkan kepada pihak polis dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, hasil ujian saringan turut mendapati salah seorang daripada Pati tersebut positif Covid-19.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru