Monday, June 27, 2022

Mangsa kebakaran rumah panjang terima RM70,900

Secara Rawak

BETONG: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWKKK) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak menyalurkan bantuan mangsa bencana kebakaran Rumah Panjang August Jampi, Ban Ulu berjumlah RM70,900.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam memberitahu, ia bagi meringankan beban mangsa yang tinggal sehelai sepinggang akibat tragedi kebakaran 12 April lalu.

“Ia melibatkan pemberian wang saku sebanyak RM3,000, pakaian harian RM3,000, makanan kering RM1,500, peralatan dapur RM4,900 dan pakaian serta peralatan sekolah RM900.

“Perbelanjaan terbesar sebanyak RM55,000 bagi bahan binaan dan sewaan.

“Kita juga menyampaikan kutipan Tabung Bantuan Segera (TBS) sebanyak RM2,100,” katanya.

Adun Saribas itu berkata demikian semasa menyantuni mangsa bencana di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Panglima Rentap, hari ini.

Pengarah JKM Sarawak Noriah Ahmad, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong Uwieng Gimos, wakil Residen Bahagian Betong Amir Ridzuan Mohamad, Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal, Pegawai Menguasa Daerah Kecil Debak Nazari Bujang dan Temenggung Bahagian Betong Pi’ee Alwi turut hadir sama.

Jelas Razi, bagi membina baharu rumah panjang seperti dimaklumkan oleh Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal, mereka layak untuk Bantuan Khas Kebakaran.

“Kerajaan Sarawak ada menyediakan RM70,000 sepintu untuk bantuan bina baharu, yang akan diuruskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Betong.

“Saya berharap tindakan segera dapat diatur bagi memastikan mangsa dapat membina kediaman baharu,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru