Saturday, June 25, 2022

Lelaki Sabah tipu lelaki Sarawak RM470,000

Secara Rawak

KUCHING: Seorang lelaki dari Kota Belud Sabah dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Khamis atas lapan pertuduhan menipu seorang lelaki tempatan berkaitan tender atau projek pemasangan lampu LED yang tidak wujud di Sabah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superintendan Maria Rasid berkata, individu terbabit dituduh bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di tiga Majistret berasingan.

Jelasnya, akibat daripada kejadian itu mangsa, 53, dari Batu Kawa di sini, mengalami kerugian RM470,000 seperti dilaporkan pada 16 Januari lalu.

Menurutnya, tertuduh, Jaafar, 57, yang tidak diwakili peguam bela mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan.

“Mahkamah membebaskan tertuduh dengan jaminan tunai RM2,000 dan jaminan mahkamah RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan bagi tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret 1,” katanya lagi.

“Sementara itu, di Mahkamah Majistret 2, mahkamah telah membebaskan tertuduh dengan jaminan tunai RM10,000 bagi tiga pertuduhan dengan dua orang penjamin tempatan.

“Di Mahkamah Majistret 3 tertuduh dibebaskan dengan jaminan tunai RM2,000 bagi dua lagi pertuduhan yang dibacakan dengan seorang penjamin tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, tertuduh telah membayar kesemua ikat jamin terbabit berjumlah RM55,000 secara keseluruhan.

Jelasnya, tarikh pengurusan kes sebelum perbicaraan (PTCM) telah ditetapkan semula pada 24 Mei 2022, jam 9 pagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru