Monday, June 27, 2022

Cadang Kerajaan Sarawak ambil alih keluar sijil lahir

Secara Rawak

KUCHING: Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) dan Kongres Kebangsaan Dayak (DNC) mencadangkan Kerajaan Sarawak mengambil alih dalam mengeluarkan sijil lahir dan kad pengenalan kepada rakyat Sarawak tanpa campurtangan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, Kerajaan Sarawak harus memulakan langkah menyelesaikan masalah rakyat yang tiada dokumen pengenalan diri. Jelasnya, Kerajaan Sarawak boleh mengguna pakai Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian [Bab. 10 (1958 Ed.) untuk mengeluarkan siji lahir bagi rakyat Sarawak.

Sementara katanya, Kerajaan Persekutuan harus mengeluarkan kad pengenalan berdasarkan sijil lahir keluaran Kerajaan Sarawak.   “Selain dari itu, DTTAS dan DNC juga cadangkan agar Kerajaan Sarawak melalui Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan ditubuhkan pada 2016 harus bertindak menyelesaikan masalah yang berpanjangan ini.

“Dasar Kewargenaraan Negara yang telah gagal ini juga harus dikaji semula. Ianya harus diperbaiki dari semasa ke semasa untuk menjadi lebih berkesan dalam membantu rakyat yang tiada dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama-sama oleh Pengasas dan Penasihat DTTAS, Wellie Henry Majang dan Presiden DNC Paul Raja. DTTAS dan DNC juga menyambut baik dan mengalualukan langkah Pejabat Premier Sarawak mengeluarkan dokumen sementara untuk anakanak bawah 21 tahun yang tidak mempunyai status warganegara.

Katanya, tindakan berperikemanusiaan ini dialualukan kerana di bawah Perisytiharan Hak Asasi Manusia, pendidikan dan kesihatan hak asasi manusia dan sepatutnya diberikan setiap manusia terutamanya kepada rakyat sendiri yang tiada dokumen pengenalan diri.

Bagaimanapun, DTTAS dan DNC terkilan dokumen tersebut dikeluarkan kepada individu di bawah umur 21 tahun sahaja malah ia bukan jaminan untuk mendapat status kerakyatan Malaysia kerana perkara itu adalah dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Sementara usaha untuk memberi dokumen sementara memberikan harapan kepada ramai rakyat tempatan yang belum mendapat dokumen pengenalan diri, namun ia juga mengecewakan kerana usaha itu nampaknya hanya usaha separuh jalan.

“Seharusnya ia menjadi langkah permulaan Kerajaan Sarawak untuk menyelesaikan masalah rakyat tempatan yang masih belum ada dokumen pengenalan diri,” katanya.

Katanya, bidang kuasa untuk mengeluarkan dokumen pengenalan diri dalam tangan Kerajaan Persekutuan dan tidak boleh dijadikan alasan untuk selesaikan masalah rakyat.

Jelasnya, Perkara 15(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia menyatakan bahawa setiap manusia berhak untuk mendapatkan kewarganegaraan. Sehubungan itu, jeasnya, tanpa mengira peringkat kerajaan untuk menyelesaikan isu dokumen pengenalan diri, Kerajaan Sarawak harus bertanggungjawab atas hak rakyat Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru