Monday, June 27, 2022

Tangani kehamilan remaja

Secara Rawak

KUCHING: Isu kehamilan dalam kalangan remaja tidak bersekolah di Sarawak akan diberi perhatian dan perlu ditangani secara holistik.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ini kerana ia menyumbang kepada peratusan kes kehamilan remaja di negeri ini.

Beliau berkata, pada 2021 kehamilan remaja tidak bersekolah menyumbang 74 peratus kepada jumlah keseluruhan kes kehamilan remaja di negeri ini. “Daripada 74 peratus ini, sebanyak 70 peratus melibatkan remaja berhenti sekolah sebelum hamil, tiga peratus remaja berhenti sekolah selepas hamil dan satu peratus remaja yang hamil tidak pernah bersekolah.

“Justeru, Kementerian menerusi Jawatankuasa Pusat Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) akan memfokus kepada masalah kehamilan remaja tidak bersekolah ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat OSTPC di sini, semalam.

Dalam pada itu, Fatimah berkata kes kehamilan remaja kebanyakannya berlaku di luar sekolah, melibatkan keciciran. “Sekarang kita berada di peringkat endemik dengan banyak program fizikal dibenarkan diadakan. Kami akan mendapat kebenaran daripada Kementerian Pendidikan untuk melakukan program intervensi di sekolah.

“Kita juga akan mengadakan program antara agensi untuk masyarakat bagi memberi kesedaran dan memberi maklumat mengenai kehamilan remaja.  “Semua agensi terbabit akan diberi slot untuk memberi taklimat kepada masyarakat tentang isu kehamilan remaja,” katanya.

Tambahnya, agensi itu termasuk Majlis Pembangunan Sosial, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Negeri Sarawak serta badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Wanita Untuk Wanita Sarawak (SWWS).

Fatimah berkata, sebanyak 24 Program Randau Pembangunan Sosial Sarawak akan dianjurkan di seluruh negeri tahun ini. Beliau berkata mereka akan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kehamilan remaja untuk bukan sahaja mengurangkan kes tetapi juga mengelak daripada melihat kes pembuangan bayi.

“Sekiranya ada keperluan, remaja hamil akan ditawarkan sistem sokongan di Taman Sri Puteri di mana mereka akan diberi perlindungan dan kaunseling serta yang lain,” tambahnya.  Fatimah menegaskan bahawa isu kehamilan remaja akan menjadi salah satu fokus kementeriannya daripada 11 isu sosial yang ada.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru