Saturday, June 25, 2022

Kes remaja hamil menurun di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak berjaya mencapai sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) dalam menurunkan bilangan kes remaja hamil sebanyak 10 peratus bagi tahun 2021.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia dapat dibuktikan melalui jumlah kes remaja hamil di Sarawak pada tahun 2021 yang menurun sebanyak 22.6 peratus atau 470 kes berbanding tahun 2020.

Pada tahun 2020 katanya, Sarawak merekodkan sebanyak 2,099 kes manakala pada tahun 2021 sebanyak 1,623 kes.

“Berdasarkan rekod statistik 2021 Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, sebanyak 6.7 peratus (109 kes) adalah remaja berumur di bawah 16 tahun; 93.3 peratus (1,514 kes) melibatkan remaja berumur 16 tahun dan ke atas. “Daripada jumlah tersebut, Bahagian Kapit mencatatkan peratusan remaja hamil yang tertinggi iaitu 13.2 peratus diikuti Sri Aman dengan 9.8 peratus, Sarikei (9.1 peratus), Bintulu (7.1) peratus dan Sibu (7.0 peratus),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) di sini, semalam. Manakala bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, Fatimah mendedahkan sebanyak 332 kes remaja hamil telah direkodkan di negeri ini.

Jelasnya, sebanyak enam peratus (20 kes) adalah individu yang berumur di bawah 16 tahun; 94 peratus (312 kes) berumur 16 tahun dan keatas; 94 peratus (311 kes) tidak lagi bersekolah semasa dilaporkan hamil dan 57 peratus (189 kes) tidak berkahwin semasa mereka hamil.

Beliau berkata, bahagian Kapit masih mencatatkan peratusan remaja hamil yang tertinggi iaitu sebanyak 11.4 peratus diikuti dengan Bintulu  (5.9 peratus); Serian (5.4 peratus); Betong (5.2 peratus); dan Sarikei (4.5 peratus).

“Walaupun tahun ini baru mula dan belum sampai ke penghujungnya, saya berharap ia menunjukkan trend penurunan berbanding tahun 2021 (1,623 kes),” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Fatimah memaklumkan bahawa sepanjang tahun 2021 sebanyak 360 kes berkaitan pelbagai isu yang dihadapi oleh remaja hamil di peringkat OSTPC Bahagian di Sarawak. Daripada jumlah kes tersebut katanya, sebanyak 62 peratus (223 kes) dapat diselesaikan.

“Kes-kes yang terlibat merangkumi isu-isu seperti kebajikan, perundangan, dokumen pengenalan diri, persekolahan, perlindungan dan sokongan, dan kesihatan ibu remaja dan anak yang dilahirkan mereka,” katanya.

Hadir sama, Menteri Muda I KPWK Datuk Rosey Yunus, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Noriah Ahmad dan Setiausaha Eksekutif, MPS KPWK Dr. Zufar Yadi Brendan Abdullah.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru