Monday, June 27, 2022

Wakil rakyat lompat parti kerana tak sanggup jadi pembangkang

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Rata-rata wakil rakyat yang melompat setelah PRU-14 bukannya lompat atas semangat prinsip.

“Mustahil sebelum 9 Mei 2018 mereka percaya perjuangan parti, tapi 10 Mei 2018 terus waswas,” kata Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.

“Bukan juga mereka dipecat dan dipaksa pilih rumah lain. Tetapi semata-mata tak sanggup jadi YB pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, begitu ramai yang menang atas tiket rumah asal, dimenangkan oleh jentera dalam rumah asal – tetapi disebabkan selepas PRU-14 rumah asal mereka bersifat pembangkang, mereka tidak sanggup kekal bersama-sama dengan pemimpin dan ahli membina semula rumah itu.

“Atau ‘pujukan’ tertentu terlalu menarik buat mereka sehingga sanggup melompat beramai-ramai dan lebih teruk, menarik sebahagian kecil penyokong bersama,” katanya lagi.

Tegasnya, istilah yang sesuai menggambarkan adegan-adegan lompat penggal ini bukan “berprinsip”, tetapi “khianat”.

“Fenomena inilah yang menjadi punca orang ramai bercakap tentang anti lompat parti. Fenomena ini jugalah yang menyebabkan RUU Anti Lompat Parti ini hendak dibentangkan pun.

Natijahnya, kekhuatiran yang diutarakan dalam perbahasan di Parlimen semalam, saya anggap diluar konteks sebenar yang telah berlaku beberapa tahun kebelakangan,” ujarnya.

“Supaya tidak salah faham, ya, diakui dan diterima, kita hendak menjamin suatu undang-undang dan pindaan Perlembagaan yang adil dan bertahan untuk suatu ketika yang lama. Suatu perundangan yang mengambilkira semua sudut melangkaui konteks hari ini,” katanya.

Maka kata beliau, eloklah diperhalusi di peringkat Jawatankuasa Khas sebelum dibawa ke Dewan kelak dengan draf lengkap yang boleh dijayakan bersama.

“Tetapi sambil itu sedang berlaku, usahlah pihak yang menjadi pemain utama dalam adegan lompat dalam penggal Parlimen ini cuba mengeliru atau menutup cerita sebenar kenapa RUU Anti-Lompat Parti menjadi isu sekarang.

Sedangkan sebelum ini selama 60 lebih tahun isu ini tidak berbangkit besar pun,” katanya.

“Isu lompat berleluasa penggal ini, bukan sebelumnya. Bukan sebab “katak berprinsip”. Bukan sebab parti asal mereka lari dari landasan. Bukan sebab dipecat. Bukan sebab kepentingan rakyat atau moral. Tetapi sebab kepentingan peribadi.

Itu yang hendak dibendung. Itu punca RUU ini dibentang,” tambahnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru