Monday, June 27, 2022

Pertemuan generasi kedua dan ketiga SUPP

Secara Rawak

MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) baru-baru ini menyantuni ahli partinya dalam kalangan kaum Penan, Iban dan Kayan dari SUPP Baram, Bekenu dan Telang Usan.

Ketua Wanita SUPP Kho Teck Wan berkata, lawatan itu bertujuan untuk menyantuni ahli parti dan mengenal pasti isu yang dihadapi mereka.

“Bagi ahli parti yang berada di cawangan bukan konstituensi pilihan raya yang tidak mempunyai wakil rakyat parti, kami akan ke sana untuk memahami masalah mereka agar ia dapat disampaikan ke pusat parti untuk perhatian,” katanya kepada New Sarawak Tribune.

Beliau menjelaskan, cawangan bukan konstituensi merujuk kepada konstituensi yang tidak diwakili calon SUPP semasa pilihan raya negeri atau umum.

“Seperti contoh, Satok diwakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) namun SUPP mempunyai cawangan di Satok.

“Justeru, cawangan SUPP Satok merupakan cawangan bukan konstituensi,” katanya.

Teck Wan berkata, lawatan beliau ke Miri turut disertai Setiausaha Politik Premier Sarawak Tan Kai, Soo Li Chin dan Daniel Bujal.

“Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), SUPP tidak mempunyai banyak aktiviti sejak dua tahun lalu,” ujarnya.

Katanya, beliau bersyukur dapat bertemu ahli-ahli yang merupakan generasi kedua dan ketiga ahli parti.

Tambahnya, ibu bapa serta datuk nenek mereka membantu menubuhkan beberapa cawangan parti tertua di Sarawak tersebut.

“Parti kami bermula sejak 1959, beberapa cawangan lama adalah dari luar bandar dan keluarga mereka telah bersama parti sejak sedekad lama.

Saya amat berterima kasih kepada mereka kerana setia bersama parti ketika saat suka dan duka.

“Mari kita sama membawa baton dan berkembang bersama-sama untuk bergerak lebih maju kehadapan,” katanya.

Katanya, SUPP memulakan lawatan mereka di Tanjung Datu, Lundu, diikuti Kapit dan kemudiannya Miri.

“Kami akan melawat kesemua cawangan konstituensi termasuk cawangan bukan konstituensi,” katanya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru