Saturday, June 25, 2022

Banduan lolos dari penjara ditahan semula 

Secara Rawak

JELEBU: Polis menahan seorang lagi banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu semalam, di Kampung Petasih Tengah, Pertang dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Maslan Udin, berkata lelaki dikenali sebagai Mohd Zairizan Zainal, 42, yang sedang menunggu perbicaraan bagi kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu ditahan 5.15 pagi tadi.

“Lelaki terbabit telah memecah masuk sebuah rumah di kampung itu dan cuba melarikan sebuah kereta Proton Waja tetapi berjaya dihalang seterusnya ditangkap oleh orang kampung dan polis.

Menerusi tangkapan lelaki berasal dari Jasin, Melaka itu menjadikan keseluruhan dua daripada tujuh lelaki yang melarikan diri dari penjara semalam berjaya ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jelebu di sini pada Isnin seperti dilapor Bernama.

Banduan pertama yang ditahan semula, Sohaimi Khalid berusia 50 tahun diberkas di kawasan kebun sawit, Kongkoi di sini dalam jarak dua kilometer dari Penjara Jelebu 7 malam semalam.

Menurut Maslan, banduan pertama ditahan semua itu telah dibenarkan reman oleh Mahkamah Majistret Bahau, Jempol selama empat hari bermula hari ini manakala permohonan reman untuk banduan kedua ditahan semula akan dijalankan esok di mahkamah sama.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati kejadian kira-kira 6 pagi itu berlaku di Blok Muhasabah 2, Penjara Jelebu di lokasi kesemua banduan reman terbabit ditempatkan dan mereka dipercayai melarikan diri melalui lubang siling serta keluar melalui lubang pagar yang disyaki dipotong menggunakan pemotong besi di tepi blok itu.

Susulan itu, polis mengadakan empat sekatan jalan raya di sempadan Jelebu iaitu Nilai, Kuala Pilah dan Jempol dalam usaha mengesan kesemua mereka yang masih lolos termasuk dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Penjara Jelebu. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru