Wednesday, May 25, 2022

Kerajaan, PH setuju pinda Perkara 10 Perlembagaan diperhalusi

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) mempersetujui tiga perkara berhubung pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan termasuk memperhalusi berkaitan tafsiran bagi larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perkara itu dipersetujui pada mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi ini.

Beliau berkata mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan memansuhkan Perkara 48 (6) Perlembagaan Persekutuan, termasuk mana-mana pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan yang dianggap perlu.

Perkara 48 (6) menyatakan seseorang yang melepaskan keahliannya di Dewan Rakyat hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh pelepasan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat.

“Ketiga adalah menggubal satu rang undang-undang khusus berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti dan perkara ini akan dikemuka untuk dibincang dan dipertimbangkan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas yang dilantik oleh dewan ini,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 di Dewan Rakyat hari ini menurut laporan Bernama.

Rang undang-undang bagi meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan itu bertujuan memasukkan fasal baharu 3A selepas Fasal 3 bagi sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) yang berhubungan dengan keahlian dalam parti politik ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri boleh juga dikenakan oleh undang-undang persekutuan.

Wan Junaidi berkata pindaan itu turut memberi punca kuasa bagi membolehkan suatu akta khusus berhubung larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal dan diluluskan di Parlimen.

“Selain itu, rang undang-undang ini juga mampu menghentikan tindakan mana-mana pihak yang dipilih dan dilantik melalui proses pilihan raya sah daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atau alasan munasabah sekali gus memastikan kestabilan politik negara untuk suatu jangka masa panjang,” katanya.

Wan Junaidi berkata semalam kerajaan telah bersetuju supaya jawatankuasa pilihan khas bipartisan ditubuhkan bagi penggubalan akta baharu berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Beliau berkata jawatankuasa yang membabitkan keahlian semua pihak berkepentingan termasuk pakar akademik, wakil parti pembangkang dan kerajaan itu bagi meneliti dan menentukan dasar serta peruntukan terbaik untuk akta itu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru